Aksi Ditunda Lagi, Kuching City Pilih Pasir Gudang Venue Baru

Kuching City
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kuching City membuat keputusan menghabiskan baki 10 perlawanan Liga Premier 2021 di venue baru, iaitu Stadium Pasir Gudang di Johor.

Langkah itu terpaksa diambil demi memastikan kelancaran saingan liga, berikutan banyak perlawanan membabitkan pasukan itu terpaksa ditunda termasuklah yang terbaru aksi menentang Terengganu FC II pada 17 Ogos ini di Stadium Negeri.

“Pasukan akan mula berkampung di Johor bermula Khamis ini. Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira masalah logistik yang bakal dihadapi pasukan pelawat untuk ke Sarawak. Jadual penerbangan ke Sarawak yang tidak menentu bakal menganggu kelancaran liga.

“Selain itu, peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di Sarawak juga telah menyebabkan pihak SDMC memperketatkan lagi kawalan dan syarat kemasukan ke Sarawak.

“Justeru, mengadakan perlawanan di Pasir Gudang akan memberikan sedikit kemudahan kepada pasukan pelawat dan melancarkan perjalanan liga,” menurut kenyataan kelab itu.

Sebagai rekod, sudah hampir empat bulan pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu tidak turun beraksi sejak aksi terakhir menentang Perak II pada 27 April lalu, menjadikan mereka pasukan paling lama berehat panjang.

Kuching City yang mengharungi musim kedua mereka dalam Liga Premier, ketika ini menduduki tangga kesepuluh daripada 11 pasukan dengan 10 mata, namun beraksi kurang enam perlawanan.

Mengikut jadual asal, mereka sepatutnya menentang TFC II apabila saingan liga kembali bersambung pada 24 Julai lalu, tetapi terpaksa ditunda setelah ada pemain mereka didapati positif Covid-19.

Ia kemudian membawa kepada penundaan beberapa perlawanan lain berikutan mereka terpaksa menjalani kuarantin selama 17 hari, dan baru sahaja kembali menjalani latihan pada 10 Ogos lalu.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.