Aksi Kelantan FC dan Kelantan United kekal berlangsung tanpa penyokong

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hajat penyokong di Kelantan hadir menyemarakkan pertembungan ‘musuh setempat’ antara Kelantan FC dan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu pada Selasa terbantut selepas dimaklumkan bahawa perlawanan itu akan kekal dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong.

Pengarah Eksekutif Kelantan United FC Sdn Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani berkata walaupun perlawanan Liga Malaysia yang lain sudah dibenarkan berlangsung dengan kehadiran penyokong oleh pihak Kerajaan, di Kelantan pihak kelab masih belum mendapat kelulusan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan.

“Pihak Kelantan United FC Sdn. Bhd. telah membuat permohonan dan perkara ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan yang terdekat ini berkenaan permohonan kebenaran kemasukan penyokong untuk perlawanan selepas ini,” menurut Anas Karimi.

Pertemuan antara Kelantan FC dan Kelantan United tidak dinafikan satu daripada perlawanan yang cukup dinanti-nantikan penyokong sejak jadual Liga Malaysia dikeluarkan.

Kelantan FC bimbingan Marco Ragini ketika ini berada di tangga keenam manakala Kelantan United pula di tangga ketujuh, kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata, dipisahkan hanya menerusi beza jaringan.

Sementara itu, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan terdapat pindaan kalendar Liga Malaysia musim 2021 bermula 23 April 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, keputusan itu dibuat menerusi kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas mengambilkira permohonan pasukan kebangsaan untuk mengadakan kem latihan pusat bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 serta pindaan jadual Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

“MFL selepas mengadakan mesyuarat atas talian bersama kesemua CEO-CEO dan wakil kelab pada hari ini telah memaklumkan tentang perubahan yang berlaku dalam kalendar Liga Malaysia bermula 23 April 2021.

“Jika berdasarkan jadual sebelum ini, pasukan Liga Super hanya bermain dua perlawanan dan pasukan Liga Premier bermain tiga perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

“Namun disebabkan perubahan berlaku membabitkan pertukaran jadual asal ACL serta permohonan daripada pasukan kebangsaan, kita terpaksa meminda jadual yang menyaksikan pasukan Liga Super akan bermain lima perlawanan sementara pasukan Liga Premier akan bermain empat perlawanan sepanjang bulan Ramadan.

“Ini kerana MFL telah mengambil kira berkenaan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang melibatkan Pasukan Kebangsaan bermula 31 Mei sehingga 15 Jun 2021.

“Selain daripada kejohanan ACL, tumpuan juga harus diberikan kepada wakil negara seperti Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang akan bermain kejohanan AFC secara berpusat di Singapura pada 22 sehingga 28 Jun 2021.

“Pindaan tarikh turut dibuat kepada perlawanan Liga Premier bagi memberi peluang kepada persiapan pasukan kebangsaan untuk menghadapi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada bulan Jun di mana pemain daripada Liga Premier turut akan terpilih ke pasukan kebangsaan nanti,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.