Alex Berkelana Ke Liga Turki

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain muda dari Malaysia, Alex Mahendran mengorak langkah besar dalam kariernya apabila berhijrah ke Liga Turki untuk beraksi dengan Avcilar 1903 Spor Kulubu.

Bekas pemain PDRM FC itu dilaporkan menandatangani kontrak semusim dengan kelab itu yang beraksi di divisyen bawahan dan menjadi pemain import kedua pasukan itu.

Pemain berusia 22 tahun itu yang turut pernah bermain di Akademi Marbella City di Sepanyol dan Bharat FC (Liga Divisyen Dua India) tidak melihat kepada divisyen mana pasukan itu beraksi sebaliknya mengutamakan peluang beraksi secara tetap.

“Saya tak kisah main di divisyen berapa kerana apa yang lebih penting, saya mahu menimba pengalaman terutama di luar negara.

“Tahap liga Turki sangat tinggi dan kelab-kelab utama di sini juga beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Uefa seperti Galatasaray dan Fenerbahce.

“Mungkin ini langkah pertama buat saya untuk membina nama dengan Avcilar 1903 dan berharap mampu memikat kelab-kelab lain apabila beraksi nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Selain Alex Mahendran, beberapa pemain Malaysia lain yang berkelana di luar negara adalah Luqman Hakim Samsudin bersama KV Kortrijk; Allee Putra Azril bersama akademi di Sepanyol, FC Malaga City; Omar Raiyan Kama Azlan di Serbia dengan Red Star Belgrade; Owen Teo dengan kelab Croatia, NK Precko Zagreb serta ramai lagi.

Selain di Eropah, pemain Malaysia turut mewarnai beberapa liga di Asia seperti Hadi Fayyadh di Jepun, Liridon Krasniqi di India, Dominic Tan dan Junior Eldstal di Thailand serta beberapa pemain muda di Australia serta Wan Kuzain di Amerika Syarikat.

Sebelum ini Safee Sali pernah bermain di Indonesia, Norshahrul Idlan Talaha di Thailand manakala tiga pemain iaitu Safawi Rasid, Nazmi Faiz Mansor dan Fakri Saarani pula di Portugal.

Baru-baru ini pemain sayap lincah Faisal Halim dikatakan telah berjaya menarik minat beberapa kelab Eropah susulan aksi memukau ketika mewakili Harimau Malaya menentang Jordan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.