Amirul Azhan sedar bolasepak tidak selamanya menjamin rezeki

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pemain pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan memanfaatkan sepenuhnya masa terluang sepanjang penangguhan Liga Malaysia untuk melonjakkan nama kedai makan yang diusahakan bersama ibunya di Ipoh, AN 23 Char Kuey Teow.

Walaupun AN 23 sudah dibuka sejak lima tahun lalu namun pengalaman kali ini nyata berbeza buat pemain itu kerana terpaksa melakukan perniagaan secara pesanan sahaja memandangkan restoran perlu ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kedai ini dah lama dibuka iaitu sejak 2015 dan milik ibu tetapi saya menguruskan bersamanya, cuma kali ini pendekatan berbeza terpaksa diambil ekoran PKP.

“Sekarang saya sendiri kena turun padang melakukan proses mengambil pesanan daripada pelanggan serta melakukan penghantaran jika perlu dan tidak ketinggalan dalam soal pemasaran.

“Dalam tempoh PKP ini, kami memfokuskan kepada lapan menu utama sahaja berbanding 30 yang kami ada semasa restoran boleh dibuka.

“Alhamdulilah, sambutannya tetap menggalakkan biarpun dalam tempoh PKP dan adakalanya kami tidak menang tangan melayani pesanan pelanggan malah ramai juga pelanggan terdiri daripada peminat Perak yang memudahkan saya melakukan pemasaran dan diharap boleh membantu saya daripada segi jualan,” katanya yang pernah menyarung jersi kebangsaan sekitar 2017 dan 2018.

Selain Char Kuey Teow yang menjadi menu utama Restoran AN 23, tarikan yang lain ialah seperti nasi goreng kampung, nasi goreng cendawan, nasi goreng pataya banjir, nasi goreng chicken chop, nasi lemak pandan ayam dan mee kari.

Dalam pada itu, Amirul mengakui perancangannya membuka kedai makan adalah salah satu persediaan jangka panjang memikirkan masa hadapan sekiranya sudah menggantung but.

Baginya, apa yang terjadi dalam tempoh PKP ini memberikan lagi kesedaran buat dirinya bahawa tiada apa terjamin dalam dunia bola sepak.

“Selepas minggu pertama PKP, rasa terduduk sekejap dan seolah-olah tidak percaya dengan apa yang terjadi apabila liga kita terpaksa ditangguhkan.

“Sekarang saya makin tersedar yang kena ada pelbagai perancangan jika perkara seperti ini terjadi lagi.

“Malah karier dalam bola sepak pun tiada apa yang boleh dijadikan jaminan dan sebagai pemain, kena sentiasa bersiap sedia dengan apa kemungkinan jika kita sudah tidak dimahukan jurulatih pada satu masa nanti,” katanya yang masih melakukan latihan seperti biasa di rumah bagi mengekalkan kecergasan.

Foto : MFL

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.