Amri Yahyah lagi agresif, lagi rajin berlari berbanding De Paula!

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula merupakan antara yang paling teruk dikecam selepas kekalahan memalukan Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada awal pagi Jumaat.

Selepas dicanang hebat sebagai skuad terbaik pernah dikumpulkan dan penyokong juga dilihat optimis keputusan positif dapat diraih, aksi longlai ditampilkan Harimau Malaya yang sekaligus menunjukkan tidak ada bezanya skuad dulu dengan sekarang.

De Paula yang dianggap mampu menyuntik kekuatan tambahan kepada barisan serangan, tampil dengan aksi lemau dan bermain seolah tiada jiwa.

Pemain berusia 34 tahun itu bukan sahaja langsung tidak memberikan impak, malah kelihatan lebih banyak berjalan kaki dan menjadi ball-watching striker sehingga ramai yang mempersoalkan kenapa Tan Cheng Hoe boleh mengekalkannya di atas padang sehingga tamat permainan.

Syafiq Ahmad yang masuk di separuh masa kedua dilihat bermain lebih agresif dan bersemangat, namun sayangnya Tan Cheng Hoe memilih untuk ‘mengorbankan’ Nor Azam Azih berbanding De Paula manakala seorang lagi penyerang Luqman Hakim Shamsudin pula dibawa masuk menggantikan Safawi Rasid, yang turut tidak berfungsi.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan jika penyerang veteran Amri Yahyah ada di dalam skuad, dia akan bermain dengan lebih bersemangat, lebih agresif dan lebih banyak berlari mengejar bola untuk menekan pertahanan pasukan lawan.

Malah pemain berusia 40 tahun itu sebenarnya lebih menonjol di dalam saingan Liga Super bersama Sabah FC, berbanding De Paula mahupun seorang lagi penyerang yang dibawa Tan Cheng Hoe, Norshahrul Idlan Talaha.

Selain De Paula, dua lagi pemain naturalisasi Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh turut tampil mengecewakan sehinggakan sudah ada yang mula menyuarakan pendapat bahawa program naturalisasi adalah satu kegagalan.

“Ini bermakna tiada jalan pintas (untuk berjaya) di dalam bolasepak,” nukilan ringkas tetapi penuh makna oleh bekas pemain kebangsaan Wan Rohaimi Wan Ismail yang kini merupakan jurulatih PDRM FC.

Manakala Tengku Hazman Raja Hassan pula menulis pendapatnya di media sosial, “Kalau setakat nak kalah banyak tu, baik ambik pemain tempatan jer la.”

Malah sebelum ini bekas pemain pertahanan kebangsaan, Datuk Santokh Singh awal-awal sudah menegur dan menyatakan rasa kurang senangnya dengan kehadiran pemain naturalisasi di dalam pasukan Harimau Malaya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.