Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakAnda akan saksikan JDT yang berbeza dalam tiga perlawanan berikutnya

Anda akan saksikan JDT yang berbeza dalam tiga perlawanan berikutnya

Penyokong bolasepak tanah air akan menyaksikan kelibat Johor Darul Takzim (JDT) yang berbeza dalam baki tiga perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021 selepas ini.

Itu janji ketua jurulatih, Benjamin Mora yang berpendapat pasukannya telah belajar dari kesilapan dari dua kekalahan dialami sebelum ini dan akan bangkit sebagai pasukan yang jauh lebih baik.

JDT memulakan aksi ACL 2021 dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Nagoya Grampus dan kemudiannya menewaskan Ratchaburi FC 1-0 sebelum tumbang dibelasah 1-4 oleh Pohang Steelers.

Mereka ketika ini di tangga ketiga Kumpulan G dengan tiga mata, dan akan bertemu Pohang Steelers sekali lagi dalam aksi kedua pada Rabu ini.

“Ini adalah kali kedua kami menentang Pohang. Sudah tentu ia peluang terbaik untuk menebus kesilapan pada pusingan pertama sekali gus memperbaiki corak permainan yang lebih konsisten. Malah kami tahu cara mereka beraksi.

“Kami bersaing di pentas ACL semestinya mahu buktikan sesuatu dan ia bukan sekadar melengkapkan jadual perlawanan. Kami pasti akan turun dengan lebih mantap pada tiga aksi seterusnya bermula dengan menentang kelab dari Korea Selatan itu,” kata pengendali dari Mexico itu.

Mengenai barisan pemain untuk menentang Pohang Steelers, Benjamin Mora berkata akan ada rombakan kecil dibuat susulan penggantungan perlawanan dua pemain pertahanan Mauricio dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

“Kami tidak dapat turunkan Mauricio kerana di gantung satu perlawanan tapi kami sudah kenal pasti pemain yang akan mengisi kekosongan tempatnya untuk bergandingan bersama Shane (Lowry). Malah posisi Azrif (Nasrulhaq Badrul Hisham) juga ada pengganti,” ujarnya.

Sementara itu, kapten pasukan Farizal Marlias pula berkata, “Ia peluang terbaik untuk tebus kesilapan lalu. Kami berada di landasan terbaik untuk menang pada aksi lalu selepas mendahului 1-0, namun tiga sepakan penalti yang diberikan kepada pasukan meranapkan segala harapan.

“Itulah bola sepak, namun aksi kali kedua adalah episod berbeza kerana kami perlu raih mata penuh untuk kekal bersaing di pentas ACL. Harapan kami adalah untuk melakar kejutan”.

Ini adalah musim ketiga berturut-turut JDT beraksi di pentas ACL. Musim lalu mereka terpaksa menarik diri selepas bermain 4 perlawanan manakala musim 2019 pula menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.