Annuar Musa Import ‘Sep Gendang Kelate’ Sokong KL City Di Final Piala Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Suasana perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan KL City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran penyokong ‘import’ iaitu kumpulan gendang Kelantan (sep gende kelate).

Wakil kumpulan itu berterima kasih kepada Penasihat KL City, Tan Sri Annuar Musa kerana mempelawa mereka dan menyatakan kesediaan untuk membakar semangat pemain skuad warga kota dengan paluan gendang.

“Terima kasih Tan Sri Annuar Musa di atas jemputan kepada sep gendang Kelate untuk datang ke final di Bukit Jalil. Sep gendang akan hadir memberi sokongan kepada KL City, gendang akan bergema di Bukit Jalil.”

Sep Gende Annuar Musa Import 'Sep Gendang Kelate' Sokong KL City Di Final Piala Malaysia

Tan Sri Annuar sememangnya diketahui mempunyai hubungan yang cukup baik dengan kumpulan penyokong Kelantan baik di Kota Bharu mahupun di Lembah Klang, apatah lagi mereka telah menjadi sebahagian daripada era gemilang Kelantan ketika Persatuan Bolasepak Kelantan di bawah kepimpinannya.

Tindakan Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun dilihat segelintir penyokong seolah-olah membelakangkan penyokong asal pasukan itu, malah dalam satu tweet terbaru di twitter, beliau melabelkan pasukan itu adalah milik semua dan membayangkan KL City tidak ada ramai penyokong.

“Penyokong Kuala Lumpur City datangnya dari seluruh negara. Ramai atau tidak, soal kedua. Kita bangkit dari bawah dengan sikap yang positif. Pemain Kuala Lumpur City ada dari Perak, Kelantan, Selangor, Terengganu hatta luar negara. Kita pasukan ibu kota, pasukan milik semua,” tulisnya.

KL City mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama dalam 32 tahun setelah menyingkirkan Melaka United di separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti.

Skuad bimbingan Bojan Hodak tidak tewas satupun perlawanan dalam laluan mereka ke final yang mana disifatkan sebagai pencapaian terbaik pasukan itu di pentas Piala Malaysia dalam tempoh tiga dekad.

Sementara itu, Bojan Hodak menyifatkan mereka tidak berada dalam tekanan dan akan bermain seperti biasa menentang skuad kendalian Benjamin Mora.

Bojan turut melabelkan JDT sebagai pasukan pilihan kerana mempunyai ramai pemain berkualiti dan ada kelebihan dari segi fizikal.

“Saya tahu akan ada banyak masalah, kedua-dua pasukan agak terikat, terutamanya kami kerana kami tidak mempunyai dua skuad, kami tidak mempunyai 10 pemain import seperti mereka.

“Ini akan memberikan masalah fizikal untuk kami pada perlawanan ini, tiada sesiapa yang boleh jadi penat, setiap orang akan bermain mati-matian dan berikan yang terbaik.

“Saya berharap ia akan menjadi permainan yang bagus dan berharap akan keputusan yang positif. Tiada tekanan untuk kami kerana mereka pasukan paling kaya, bajet mereka 20 kali ganda, pemain dan fasiliti terbaik, jadi tiada tekanan untuk kami,” katanya ketika sidang media.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.