Apa bukti Juan Carlos Margo pernah jadi jurulatih Sarawak United?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais menafikan bahawa pasukan itu pernah melantik Juan Carlos Margo sebagai ketua jurulatih mereka.

Sarawak United baru-baru ini diarahkan oleh FIFA untuk membayar pampasan tunggakan gaji RM200,000 kepada jurulatih dari Sepanyol itu, di mana Posa Majais mengatakan mereka akan cuba merayu agar jumlah bayaran itu dikurangkan kepada separuh.

Selain itu, skuad kendalian E.Elavarasan juga dikenakan sekatan perpindahan pemain bagi jendela Januari 2022.

Sebagai rekod, Juan Margo dilaporkan dilantik sebagai jurulatih pasukan itu bagi mengharungi saingan musim 2020 namun belum sempat saingan Liga Premier bermula, dia dipecat kerana tiga kekalahan berturut-turut pada aksi pra-musim.

Berita berkaitan : “Mana ada pilih kasih, gaji besar jadi kita bayar separuh dulu, separuh kemudian”

Tetapi, Posa Majais kini menukar kenyataannya apabila menganggap ia hukuman yang tidak adil kepada Sarawak United kerana tidak pernah melantik bekas jurulatih Akademi Valencia itu dan meminta bukti dia pernah membimbing pasukan itu.

“Kami tidak boleh terima hakikat tuntutan ini, kami tidak pernah lantik dan tandatangani kontrak itu. Benda ini sudah berlaku setahun lebih dan FIFA pun tiada bukti mengenai tuntutan itu.

“Sekarang hendak lawan pun tidak berguna, tetapi kami boleh merayu. Kami sedia bayar tapi kami akan tetap merayu. Tidak akanlah kami akan bayar bulat-bulat tanpa sebab.

“Kalau kami tidak berhutang tapi perlu bayar, (kami) tidak boleh terima itu,” katanya dalam Nadi Arena.

Ini bukan kali pertama Sarawak United mencuri tumpuan kerana isu gaji, sebelum ini Posa Majais lantang membidas pemain import Sandro Mendonca kerana mendedahkan kepada media bahawa dia tidak dibayar gaji penuh selama beberapa bulan, malah menyatakan kesediaan mengheret perkara itu ke pengetahuan FIFA.

Berita berkaitan : “Tertunggak sebulan setengah jer, itu pun kecoh nak masuk berita dunia” 

Manakala baru-baru ini, timbul dakwaan bahawa pasukan itu mengamalkan pilih kasih dengan membayar penuh gaji pemain-pemain yang lahir di Sarawak manakala pemain lain pula dibayar separuh sahaja.

Posa Majais mengakui perkara itu tetapi menjelaskan bahawa gaji pemain kelahiran Sarawak dibayar penuh kerana mereka bergaji rendah sekitar RM2,000-RM4,000 manakala yang bergaji besar dibayar secara berperingkat.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.