Persiapan Pahang untuk menentang Terengganu dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad terganggu dek kecederaan yang dialami pemain importnya.
Walaupun peluang untuk top 3 sudah tertutup, Pahang masih berpeluang untuk menamatkan musim di kedudukan empat teratas sekiranya berjaya menewaskan Terengganu FC dalam masa sama perlu mengharapkan Selangor gagal mengutip tiga mata, namun misi itu menjadi sedikit sukar tanpa kesebelasan terbaik.
Mereka ketika ini di kedudukan keenam dengan 14 mata, hanya dipisahkan beza jaringan dengan Selangor manakala Terengganu FC di tangga keempat dengan 16 mata.
Ketua jurulatih Dollah Salleh mengesahkan perkembangan terkini di kem tok gajah, bahawa Herold Goulon pula mengalami kecederaan dan dia akan menyertai penyerang Dickson Nwakaeme di bilik rawatan.
Baca : Dollah Salleh tidak tahu sampai bila Dickson Nwakaeme akan tersisih
“Goulon mengalami kecederaan pada sesi latihan (Jumaat) dan dijangka tidak sempat pulih manakala Nwakaeme pula mengalami kecederaan ketika perlawanan menentang Perak. Selain itu saya juga tidak dapat mengguna khidmat R.Dinesh juga kerana kecederaan manakala (Ivan) Carlos pula menjalani penggantungan satu perlawanan.
“Jadi saya berharap pemain lain yang menggantikan kekosongan itu terutama pemain muda dapat guna peluang ini untuk membuktikan sesuatu,” kata Dollah Salleh.
Pada hakikatnya, ini bukan kali pertama Dickson Nwakaeme mengalami kecederaan musim ini. Dia hanya beraksi penuh 90 minit sebanyak dua kali dalam 10 perlawanan yang telah diharungi Pahang musim ini dan tiga kali tidak diturunkan langsung kerana ditimpa kecederaan.
Secara keseluruhannya, pemain berasal dari Nigeria itu hanya bermain selama 380 minit termasuk enam minit ketika Pahang menewaskan Kedah dan beraksi 22 minit ketika seri 3-3 menentang Perak.
Baca : Dollah Salleh puas hati di sebalik Pahang persiakan kelebihan tiga gol lawan Perak
Herold Goulon pula bermain lebih banyak perlawanan – tujuh kali beraksi penuh 90 minit dan dua kali selama 45 minit, hanya tersisih sekali sahaja ketika seri menentang Felda Felda United tetapi dia juga bergelut dengan masalah kecederaan.
Pemain tinggi lampai berbadan tegap ini mengalami kecederaan ringan seawal aksi pertama menentang Selangor, dan kemudiannya mengalami kecederaan ketika menentang PDRM FA di mana dia dikeluarkan pada rehat separuh masa pertama.