“Apa yang penyokong maksudkan tiada jiwa, pemalas?” – De Paula

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang naturalisasi Guilherme De Paula menolak tanggapan bahawa dia tidak bermain sepenuh jiwa dan ‘pemalas’, sepertimana dikatakan penyokong selepas kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu pada 4 Jun lalu.

“Saya tidak tahu apa penyokong katakan mengenai saya tiada jiwa bermain. Pasukan ada statistik saya, mereka boleh tengok sama ada saya berlari atau tidak di dalam padang. Saya juga berikan komitmen penuh dan menyesuaikan diri dengan baik.

“Saya ada hubungan baik dengan semua rakan sepasukan dan kami bekerja keras. Tiada siapa dapat melihat apa yang kami lakukan di sini dan saya harap penyokong perlu percayakan apa yang kami sedang lakukan. Kami datang bukan untuk bercuti tetapi berjuang untuk memastikan pasukan mara ke peringkat seterusnya.

“Saya juga tahu kualiti saya dan apa yang boleh saya sumbangkan di atas padang selain saya ibaratkan semua perlawanan seperti perlawanan akhir. Mungkin orang tidak dapat lihat apa yang saya buat, tetapi saya sentiasa berikan yang terbaik,” kata De Paula dalam sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

De Paula yang melengkapkan syarat naturalisasinya pada 31 Mei lalu yang membolehkan dia menyarung jersi Harimau Malaya, dihadiahkan kap sulung ketika menentang UAE namun jelas ia penampilan yang mahu dilupakannya.

Dia bukan sahaja gagal melakukan sebarang percubaan tepat, malah tidak memberi impak kepada barisan serangan walaupun dikekalkan 90 minit di atas padang oleh Tan Cheng Hoe.

Di sebalik kritikan hebat dilemparkan, De Paula yang kini bermain dengan Johor Darul Takzim dijangka terus menjadi pertaruhan untuk mengetuai barisan serangan, apabila Malaysia menentang Vietnam dalam aksi seterusnya pada 11 Jun ini.

Malaysia tiada pilihan selain wajib menang perlawanan tersebut dan juga Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan G bagi menghidupkan peluang untuk mara secara automatik dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Kegagalan meraih mata penuh berdepan Vietnam akan menyaksikan pintu untuk beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia tertutup tetapi peluang ke Piala Asia 2023 masih terbuka (perlu beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan membabitkan 24 pasukan).

Foto : Football Association of Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.