(Apa yang viral) Harry Maguire ‘mark’ rakan sepasukan, bukan pemain lawan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Manchester United melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan kepada 18 perlawanan selepas keputusan seri 2-2 menentang Southampton pada awal pagi Selasa, tetapi mereka sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana membenarkan lawan mendapatkan gol penyamaan pada masa kecederaan.

Dua mata yang dicicirkan menyaksikan mereka gagal melonjak ke kedudukan top 4 Liga Perdana Inggeris dan masih perlu bekerja keras dalam baki perlawanan untuk mengesahkan slot bermain di Liga Juara Eropah.

Turut menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong selepas kegagalan Manchester United mencatat kemenangan penting, adalah bagaimana pemain pertahanan termahal dunia yang juga kapten pasukan Harry Maguire dikesan ‘marking’ rakan sepasukan sendiri Aaron Wan Bissaka di dalam kotak penalti ketika gol penyamaan terhasil.

https://twitter.com/i/status/1282781283047931906

Red Devils di ambang mengesahkan kemenangan setelah bangkit daripada ketinggalan kepada jaringan Smart Armstrong untuk mendahului menerusi jaringan Marcus Rashford dan Anthony Martial.

Insiden kecederaan membabitkan Brandon Williams dan Kyle Walker Peters pada penghujung perlawanan menyaksikan pengadil melanjutkan masa kecederaan lebih daripada lima minit.

Pada penghujung masa kecederaan itu, Southampton beroleh sepakan sudut yang diambil oleh James Ward Prowse.

Hantarannya ke dalam kotak penalti singgah di kepala Jan Bednarek dan tandukan tipis pemain itu disepak masuk ke dalam gawang oleh Michael Obafemi, tatkala ulang tayang video menunjukkan Harry Maguire tidak cuba untuk mencabar bola sebaliknya sibuk mengawal ketat pergerakan Aaron Wan Bissaka.

Tindakan Harry Maguire itu turut menjadi bahan troll dalam kalangan penyokong lawan, sehingga ada yang melabelnya sebagai ‘David Luiz versi mahal’.

Hakikatnya ini bukan kali pertama Maguire menjadi sasaran kritikan, insiden terbaru ini sekali lagi menimbulkan tanda tanya mengenai kredibiliti pemain antarabangsa England itu yang dikatakan tidak sedikitpun memberi justifikasi kepada harga mahal dibayar United untuk mendapatkannya daripada Leicester City.

Dengan baki tiga perlawanan untuk diharungi, Manchester United ketika ini di tangga kelima dengan 59 mata, dipisahkan dengan beza jaringan dengan pasukan tangga keempat Leicester City dan satu mata di belakang Chelsea. Mereka perlu menang kesemua perlawanan untuk berada di top 4 dan layak beraksi di Liga Juara Eropah.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.