Apabila Sumareh terbukti salah, maka isu tunggakan gaji hanyalah alasan, tak begitu?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah menjatuhkan hukuman gantung dua tahun ke atas bekas pemain sayap mereka, Mohamadou Sumareh.

Keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Tatatertib PBNP mendapati pemain berusia 26 tahun bersalah dalam kesemua empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya oleh PBNP dan pasukan Liga Super Pahang.

Ini bermakna dia tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti bolasepak, dan ia telah dimaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Empat pertuduhan yang dikenakan ke atas Sumareh adalah membuat kenyataan media tanpa kebenaran PBNP (pertuduhan pertama); merujuk isu berhubung kontraknya terus kepada FIFA tanpa terlebih dahulu pergi kepada FAM (pertuduhan kedua); tidak hadir ke sesi latihan dari 3 ke 28 Ogos (pertuduhan ketiga) dan tidak hadir ke perlawanan antara Pahang dan JDT pada 28 Ogos (pertuduhan keempat).

Malah PBNP juga menekankan bahawa Sumareh telah diberi notis sebanyak dua kali untuk hadir membela diri tetapi dia tidak memberi sebarang respon.

Beberapa perkara yang menjadi persoalan dalam kalangan penyokong selepas keputusan itu diumumkan, bagaimanakan penguatkuasaan hukuman ini.

Adakah ini akan menjejaskan kontraknya bersama Police Tero FC di Thailand?

Atau adakah penggantungan yang dikenakan oleh PBNP terpakai hanya untuk semua pertandingan di bawah kelolaan FAM?

Jadi tiada lagi kelibat pemain naturalisasi itu dalam skuad Harimau Malaya?

Apakah sebuah persatuan bolasepak negeri mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi peringkat kebangsaan yang lazimnya dibuat oleh FAM?

Atau adakah keputusan oleh PBNP itu sekadar larangan untuk dia terlibat dalam sebarang aktiviti bolasepak dalam lingkungan negeri Pahang sahaja?

Jika sekadar dalam lingkungan negeri Pahang, apa gunanya dia dikenakan penggantungan?

Bukankah kes Sumareh telah dibawa ke FIFA, malah FAM sendiri hanya akan mengambil alih kes selepas FIFA buat keputusan, jadi kenapa PBNP tak tunggu sahaja keputusan FIFA itu dan mahu terburu-buru dalam hal ini?

Persoalan yang lain adalah mengenai isu tunggakan gaji yang dikatakan menjadi punca dia membuat keputusan membatalkan kontrak secara sebelah pihak dengan mengaktifkan klausa 8.7 dan kemudiannya menyertai Police Tero FC.

Apabila Sumareh dikatakan bersalah dalam kesemua empat pertuduhan, bukankah secara sendirinya ia membawa maksud bahawa isu tunggakan gaji di kem Pahang sepertimana didakwa hanyalah alasan pemain Gambia itu untuk berpindah ke pasukan lain?

Kerana tiga daripada empat pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah berhubung rapat dengan isu tunggakan gaji yang membawa kepada tindakan dia menghilangkan diri daripada kem Pahang dan kemudian membatalkan kontrak.

Ini nampaknya sedikit sebanyak memulihkan maruah dan nama baik PBNP yang sebelum ini tercalar teruk.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.