Apek dipanggil semula ke kem kebangsaan selepas hampir dua tahun

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat akan kembali dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, untuk menyertai kem latihan fasa pertama Harimau Malaya membabitkan 30 pemain pada bulan depan.

Menurut laporan Nadi Arena, kem latihan fasa pertama tidak akan membabitkan pemain skuad utama sebaliknya adunan pemain lama dan baru tatkala Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan pemain-pemain regular pada fasa kedua.

Kem latihan itu adalah yang pertama selepas hampir setahun pasukan negara tidak berkumpul bersama disebabkan pandemik Covid-19, sebagai membantu persiapan Harimau Malaya menghadapi baki perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Memang bukan mudah kerana pemain sudah agak lama tidak bersama pasukan dan bukan dalam sekelip mata kami boleh mendapatkan keserasian. Tetapi saya yakin pemain yang akan dipanggil nanti mempunyai potensi yang besar untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang,” kata Cheng Hoe.

Selain Khairul Fahmi, seorang lagi pemain senior yang dijangka dipanggil adalah pertahanan Perak Shahrul Saad manakala senarai lain masih belum dimuktamadkan.

Sebagai rekod, Khairul Fahmi atau Apek merupakan penjaga gol paling lama menyarung jersi Harimau Malaya, kira-kira 10 tahun bermula Piala AFF Suzuki 2010 sehinggalah kali terakhir dia dipanggil membarisi pasukan kebangsaan pada awal 2019 dalam perlawanan persahabatan Piala Air Marine.

Baca : Tuah milik Rajagobal kerana Pahang enggan lepaskan Dollah Salleh last-minute

Kejohanan besar terakhir Khairul Fahmi yang kini bermain dengan Melaka United adalah Piala AFF Suzuki 2018 di mana dia digilirkan dengan Farizal Marlias (JDT) dan membantu Malaysia melangkah sehingga ke perlawanan akhir.

Penjaga gol kelahiran Kelantan itu digugurkan kerana kecederaan bahu dan sejak itu posisi penjaga gol utama digenggam erat Farizal Marlias, dengan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Ifwat Akmal Chek Kassim sebagai back-up.

Di pentas domestik, antara kejayaan paling manis buat penjaga gol berusia 33 tahun itu adalah menjulang treble Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA bersama Kelantan pada 2012, selain dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Liga Malaysia sebanyak lima kali pada 2010, 2011, 2012, 2013 dan 2016.

Pemain ini turut pernah memenangi pingat emas Sukan SEA bersama skuad B-23 kebangsaan sebanyak dua kali pada 2009 dan 2010.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.