Argentina terlalu bergantung harap kepada Lionel Messi, tetapi adakah ia pelik?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Argentina beroleh peluang terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 28 tahun, apabila turun menentang Brazil dalam aksi final Copa America 2021 pada awal pagi Ahad.

Kali terakhir mereka bergelar juara adalah pada 1993 selepas menewaskan Mexico, dan selepas itu kecundang dalam empat aksi final Copa America (2004, 2007, 2015 dan 2016), final Piala Konfederasi (2005) dan final Piala Dunia 2014.

Mereka layak ke final edisi kali ini selepas menyingkirkan Colombia menerusi penentuan penalti, di mana Emiliano Martinez muncul wira menyelamatkan tiga sepakan penalti.

Ketua pasukan yang juga pemain terbaik dunia enam kali, Lionel Messi menjadi tunjang kemaraan skuad La Albiceleste dengan aksi heroic, menjaringkan lima gol dan mencetak lima assist.

Jangan tak tahu, dia juga satu-satunya pemain yang bermain dalam kesemua enam perlawanan diharungi Argentina (empat peringkat kumpulan, dua kalah mati), lantas mewujudkan tanggapan pasukan itu ‘tak hidup’ tanpa Lionel Messi dan terlalu bergantung kepada kudratnya.

Sebenarnya topik kebergantungan Argentina kepada Lionel Messi bukan baru dibangkitkan, memang sejak dari dulu itulah kisahnya, tetapi adakah ia sesuatu yang pelik?

Pada hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan, memang logik dan masuk akal mana-mana pasukan akan menyandarkan harapan kepada pemain terbaik mereka.

Takkan mungkin pula sebuah pasukan yang ada pemain hebat dan merupakan pemain terbaik dunia mahu mengharapkan pemain lain.

Begitu juga kisahnya di Barcelona, mereka meletak sandaran di bahu Lionel Messi, Portugal meletak sandaran di bahu Cristiano Ronaldo, malah pasukan Harimau Malaya sendiri mengharapkan Safawi Rasid – ia adalah sesuatu yang normal.

Apa yang membimbangkan adalah sejauh mana pemain itu boleh menangani tekanan diletak harapan tinggi. Dalam hal Lionel Messi, dia sendiri sudah terbiasa dengan tekanan ini. Dia tak mengecewakan apabila mendapat bola, semua teruja nak tengok magis apa yang boleh dia lakukan.

Paling penting, apabila dia perform (beraksi baik), dia membantu rakan sepasukannya untuk turut beraksi baik dan dengan sendirinya tidak timbul isu over-reliance terhadap kudratnya.

Bercerita mengenai pentingnya Copa America kali ini kepada Lionel Messi, sudah tentu ini peluang terbaik, dan mungkin terakhir untuk dia akhirnya merasai nikmat menjulang trofi bersama pasukan kebangsaan.

Memang masih ada Piala Dunia 2022 tetapi kita bercakap mengenai peluang yang tersedia di depan mata ketika ini, satu kemenangan dalam aksi final Copa America 2021 yang akan menoktahkan penantiannya.

Dia sudah sering kali berada di pihak yang kalah, mungkinkah kali ini ia akan berubah? Jika gagal sekali lagi, ia boleh diibaratkan sebagai satu tragedi buat seorang pemain yang digelar GOAT (Greatest of All Time) tidak ada sebarang kejuaraan atau trofi di pentas antarabangsa.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.