Arif Aiman curi tumpuan lagi tatkala JDT berpesta di Likas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Hajat besar Sabah FC untuk menjadi pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah pendahulu Liga Super bukan sahaja tidak kesampaian tetapi berakhir tragedi apabila diaibkan dengan kekalahan besar 1-4 di laman sendiri pada Selasa.

Ini membantu skuad harimau selatan kendalian Benjamin Mora mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas liga dengan 17 mata.

JDT memulakan permainan dengan kembalinya Natxo Insa dan Farizal Marlias ke dalam kesebelasan utama dan sepertimana ketika menewaskan Melaka United pada Jumaat lalu, mereka hanya memerlukan lapan minit untuk mendahului pasukan lawan 2-0.

Bintang muda Arif Aiman Hanapi terus mencuri tumpuan apabila meledak jaringan pembukaan pada minit ketujuh menerusi penyudah tenang menewaskan penjaga gol Robson Rendy Rining.

Selang seminit kemudian kedudukan berubah menjadi 2-0 menerusi penyudah Bergson da Silva yang bijak melepasi perangkap ofsaid – kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Tuan rumah yang tidak tewas dalam dua aksi terakhir cuba untuk bangkit apabila mengurangkan defisit jaringan menerusi penalti yang disempurnakan Levy Madinda pada minit ke-58.

Namun skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto tersentak apabila beberapa minit kemudian pemain tengah Maxsius Musa dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Natxo Insa.

Ia memberi kelebihan kepada JDT dan mereka kemudiannya mengukuhkan kedudukan menjadi 3-1 selepas Bergson da Silva menolak masuk hantaran Arif Aiman pada minit ke-68 – ia juga gol keenam peribadinya musim ini.

Pemain tengah Leandro Velazquez membunuh sisa kebangkitan Sabah FC dengan menjaringkan gol keempat melalui sepakan penalti pada minit ke-87, sekaligus mengesahkan kemenangan kelima buat juara Liga Super tujuh kali itu.

Manakala kekalahan keempat dalam tujuh perlawanan meletakkan Sabah FC ketika ini di kedudukan kesepuluh, kekal dengan hanya lima mata.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.