Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakArif Aiman, Luqman Hakim perkuat skuad B-20 kebangsaan di kelayakan AFC B-23

Arif Aiman, Luqman Hakim perkuat skuad B-20 kebangsaan di kelayakan AFC B-23

Dua pemain muda skuad Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi dan Luqman Hakim Shamsudin bakal dipanggil memperkuatkan skuad B-20 kebangsaan untuk mengharungi saingan Kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia Oktober depan.

Perkembangan itu disahkan ketua jurulatih skuad B-20, Brad Maloney dalam sidang media online pada Sabtu.

“Ya, sudah pasti Arif Aiman dan Luqman Hakim dalam perancangan saya. Saya bercakap dengan Luqman selepas undian semalam dan nampaknya dia begitu bersemangat untuk beraksi di peringkat mana sekalipun.

“Kami perlu berbincang dengan pasukannya untuk melihat komitmennya bersama pasukan itu. Tetapi setakat ini, mereka memang ada dalam perancangan kita,” katanya.

Terdahulu pada Jumaat, Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee mengumumkan badna induk itu akan menghantar skuad B-20 beraksi di pusingan kelayakan AFC B-23 dengan menjelaskan ia sebagai program jangka masa panjang menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Menurutnya, barisan pemain yang perlu dipersiapkan ke arah itu akan terdiri daripada skuad B-20 ketika ini.

“Keputusan ini sudah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM sebelum ini dan seterusnya mendapat persetujuan serta kelulusan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Kelompok pemain ini akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023 selain dua edisi Sukan SEA di Vietnam dan Kemboja.

“Jadi, kelompok pemain ini akan diberikan lebih banyak pendedahan dan persiapan jangka panjang yang lebih awal bagi kempen kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 itu termasuk beraksi pada Kelayakan Piala Asia B-23 2022 ini serta kejohanan lain bagi peringkat usia B-22 atau B-23 yang akan datang,” kata Kim Swee.

Malaysia diundi dalam Kumpulan J bersama dua seteru Asia Tenggara, Thailand dan Laos sementara Mongolia melengkapkan satu lagi pasukan dalam kumpulan itu bagi pusingan kelayakan terbabit.

Sementara itu, bercakap mengenai undian, Brad Maloney berkata tiada lawan yang boleh dianggap mudah walaupun ramai beranggapan sedemikian.

“Sebagai tuan rumah, Mongolia pasti mahu berikan yang terbaik dan dengan bimbingan jurulatih dari Jepun, mereka akan ada organisasi yang lebih baik dan bakal memberikan aksi yang sukar kepada kita.

“Kita sentiasa berdepan kesukaran apabila menentang Laos, jadi saya jangka mereka akan turunkan skuad terbaik mereka kerana mereka pun pasti mahu layak ke pusingan seterusnya.

“Tiga aksi yang sukar tetapi saya percaya barisan pemain akan mampu memberi saingan dan mereka tidak sabar untuk beraksi,” katanya.

Foto kredit : Saluddin Ismail/TPS/Sports Repvblic

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.