Pengendali Johor Darul Takzim (JDT), Benjamin Mora berpandangan belum tiba masanya untuk pemain sayapnya, Arif Aiman Hanapi yang juga Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2021 untuk beraksi di luar negara.
Walaupun sentuhan Arif Aiman semakin ‘berapi’ dan memukau malah dilihat sedang berada pada prestasi terbaik kariernya, Benjamin Mora berkata JDT adalah destinasi terbaik untuk mengembangkan lagi potensi serta kebolehan pemain itu buat masa ini.
“Saya sebagai jurulatih pastinya tugas utama adalah untuk melatih dan membuat persiapan bukan sahaja kepada Ariff malah membabitkan semua pemain JDT untuk berada di tahap permainan yang mantap sepanjang aksi Liga Super.
“Namun semuanya bergantung kepada keputusan pengurusan JDT sama ada mahu dipinjamkan atau di jual kepada kelab luar negara yang berminat untuk mendapatkan khidmat Ariff Aiman. Tapi jika anda tanya saya, sejujurnya mahu Arif Aiman kekal bersama JDT.
“Saya berpandangan Arif masih ada ruang untuk terus maju bersama JDT, lagipun dia baru 20 tahun dan masa dia akan tiba untuk beraksi di luar negara. Jadi buat ketika ini biar dia di sini dan membantu JDT memenangi kejuaaraan liga dan selepas itu bergantung kepada keputusan pihak pengurusan,” katanya kepada Sukan NSTP.
Sebagai rekod, nama Arif Aiman melonjak naik pada tahun lalu apabila dia memanfaatkan sebaiknya kejatuhan prestasi dua pemain sayap iaitu Safawi Rasid serta Mohamadou Sumareh untuk memenangi tempat di dalam kesebelasan utama JDT dan sejak itu dia tidak lagi berpaling.
Tampil dengan permainan lincah dan meyakinkan pemain berusia 20 tahun itu menjadi instrumental dalam laluan JDT memenangi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut selain cemerlang di pentas Liga Juara-Juara Asia 2022.
Prestasi mengagumkannya itu membantu dia mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi dua kategori di Anugerah Bolasepak Kebangsaan Virtual 2021 iaitu Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik, yang membolehkannya merangkul gelaran Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia.