Arif Aiman Sudah Lama Bersedia, Gembira Sahut Panggilan Kebangsaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kecederaan dialami Mohamadou Sumareh membawa rahmat buat rakan sepasukannya di Johor Darul Takzim, Arif Aiman Hanapi yang dipanggil saat akhir untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya di Piala AFF 2020.

Tiada siapa menyangka bintang muda berusia 19 tahun itu akan berada dalam skuad kali ini, setelah namanya tidak disenaraikan ketika Tan Cheng Hoe mengumumkan nama 28 pemain untuk melapor diri di kem latihan pusat, malah dalam senarai menunggu juga tiada.

Tan Cheng Hoe ketika itu memberi alasan enggan mengerah kudratnya secara berlebihan dan bimbang dia kepenatan sebagai faktor dia tiada dalam perancangan, yang mana mengundang kecaman daripada penyokong bolasepak tempatan.

Malah, bekas pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara, Lim Teong Kim turut bersuara menegur alasan yang diberikan Tan Cheng Hoe itu sebagai tidak munasabah.

Namun hanya sehari sebelum pasukan terbang ke Singapura untuk beraksi di temasya dwitahunan itu, Arif Aiman menerima panggilan ‘kecemasan’ menggantikan Mohamadou Sumareh dan sudahpun melapor diri di kem latihan.

Tan Cheng Hoe mendedahkan pemain itu sememangnya sudah lama bersedia untuk menyahut panggilan kebangsaan malah dia gembira untuk kembali ke kem latihan selepas kali terakhir dipanggil pada bulan Jun lalu ketika Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

“Kita terpaksa membuat keputusan menggugurkan Sumareh kerana selepas urusan keluarga, dia mengalami kecederaan pangkal paha dan tidak dapat pulih dalam masa singkat, jadi kita terpaksa buat satu panggilan untuk Arif Aiman.

“Selepas tamat perlawanan (final Piala Malaysia) tempoh hari, saya sempat berbual dengannya dan dia menyatakan kesediaan untuk bersama skuad kebangsaan pada bila-bila masa. Semua gembira dengan kehadiran dia, begitu juga dengan dia, itu saja yang penting dan kita kena terus fokus perlawanan akan datang,” kata Cheng Hoe.

Dengan kehadiran Arif Aiman, skuad negara ketika ini mempunyai lebih pilihan untuk dipertaruhkan di posisi sayap termasuk Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Fayyadh Zulkifli Amin.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.