Arif Aiman : “Usah letak harapan terlalu tinggi ke atas saya”

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jika tidak kerana kecederaan dialami Safawi Rasid, arena bolasepak tanah air mungkin tidak berpeluang menyaksikan kelibat anak muda berusia 19 tahun Arif Aiman Hanapi mencipta sensasi dengan aksi memukau dan mengagumkan.

Safawi Rasid mengalami kecederaan lutut seawal perlawanan ketiga Liga Super menentang Uitm FC, menyaksikannya tersisih beberapa minggu, beberapa perlawanan.

Dalam tempoh itu Arif Aiman menutup dengan baik kehilangannya, membalas kepercayaan diberi Benjamin Mora. Malah prestasi hebat pemain itu, menyebabkan dua lagi pemain sayap Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh juga terpaksa memanaskan bangku simpanan.

Tanpa ragu, Tan Cheng Hoe membuat keputusan tepat memanggilnya ke kem skuad kebangsaan dan Arif Aiman seperti tidak percaya semua itu berlaku.

“Saya tak anggap bila saya bermain dan jaringkan gol bersama JDT membolehkan saya berada dalam skuad utama Harimau Malaya. Memang impian saya bermain untuk skuad kebangsaan, tapi saya sebenarnya masih tidak percaya dapat masuk dalam skuad ini.

“Semasa dalam Liga Malaysia, saya dapat banyak minit permainan dengan JDT dan di liga juga saya dapat keyakinan untuk bawa ke sini selain jurulatih memberi peluang untuk bermain dalam pasukan kebangsaan,” katanya ketika sidang media online bersama wartawan di Malaysia.

Arif Aiman masuk menggantikan Mohamadou Sumareh ketika skuad negara tewas kepada Vietnam pada Sabtu lalu, dan tampil dengan aksi berani serta meyakinkan sekaligus mendapat pujian sehingga ramai berharap dia akan diturunkan dalam kesebelasan utama apabila Harimau Malaya turun menentang Thailand tengah malam esok.

Dia bagaimanapun kekal merendah diri dan meminta penyokong supaya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi ke atasnya.

“Saya tak ambil pujian itu untuk saya cepat berpuas hati atau untuk bangga diri sebab saya masih muda. Saya harap penyokong tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana perjalanan saya masih jauh.

“Saya juga tak ambil benda (pujian) itu sebagai tekanan dan apa yang saya boleh cakap, jika dapat peluang, saya akan main sepenuh hati dan habis-habisan lawan Thailand.

“Penyokong tak boleh berharap sangat saya diturunkan dalam kesebelasan utama sebab itu semua keputusan dan taktikal jurulatih. Saya hanya menunggu peluang,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.