“Asas Bolasepak Pemain Tempatan Banyak Kena Perbaiki” – Import Kelantan United

import Kelantan United
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Asas bolasepak pemain-pemain tempatan di Liga Malaysia perlu dipertingkatkan, itu pandangan pemain import Kelantan United, Masashi Motoyama.

Pemain veteran berusia 42 tahun itu berkongsi perkara tersebut dalam sebuah program diterbitkan J.LEAGUE International yang turut menampilkan Hajime Hosogai (bermain di Thailand) serta Kosuke Ota (bermain di Australia).

“Saya rasa pemain-pemain Malaysia sangat berkebolehan, tetapi mereka masih belum faham sepenuhnya tentang bolasepak. Posisi kadangkala agak aneh, tidak berapa tahu cara menggunakan badan atau cara menggerakkan leher. Saya rasa asas bolasepak mereka masih boleh diperbaiki.

“Dari segi kebolehan, ada pemain-pemain yang menarik yang cukup bersemangat berlari dan membuat cubaan menjaringkan gol.

“Sekarang ini saya berada di Divisyen Dua (Liga Premier) tapi dalam Divisyen Satu (Liga Super) pasti ada pemain dengan kualiti lebih tinggi. Dari segi itu, saya rasa liga di sini agak menarik,” ujar bekas bintang Kashima Antlers itu.

Mengenai bagaimana dia boleh datang ke Liga Malaysia dan bermain dengan Kelantan United, ini jawapan Masashi Motoyama.

“Ini kali pertama saya cabar diri bermain di luar negara, dua tahun lepas saya tinggalkan kelab (Giravanz Kitakyushu) dan pertimbangkan beberapa tawaran pertukaran.

“Saya rehat setahun (2020) kerana banyak kecederaan dan membuat keputusan tidak mahu bermain bola lagi. Setiap kali cedera, hati saya terluka kerana saya mahu bermain tetapi tidak boleh. Jadi saya rehat selama setahun.

“Masa saya tengah sibuk dan buat macam-macam kerja lain, ada pula yang datang merisik dan bertanya, ‘nak main bola tak’?

“Perbincangan selepas itu agak cepat. Saya gembira temui persekitaran di mana saya boleh bermain bola, saya mahu cabar diri dalam persekitaran itu. Saya buat keputusan datang ke Malaysia sebab nak bermain bolasepak, itu sebab paling utama.

“Saya dapat rasakan yang saya telah berkembang sebagai seorang individu, dan dalam erti kata itu, keputusan saya untuk ke luar negara adalah satu keputusan tepat.

Sementara itu, Motoyama juga mengakui teruja dan kagum melihat kemudahan di Johor Darul Takzim (JDT) yang menurutnya satu-satunya pasukan setanding dengan kelab-kelab utama Liga Jepun (J-League).

“Ada satu pasukan sahaja yang jauh lebih baik daripada yang lain. Iaitu pasukan Johor (JDT). Padang latihan tertutup pun mereka ada, satu pasukan itu sahaja yang mempunyai kemudahan setanding dengan beberapa kelab elit J-League.

“Saya boleh kata semua pasukan lain berada pada tahap lebih kurang sama kecuali JDT, yang telah menang Liga Super tujuh kali berturut-turut. Macam kami (Kelantan United) sekarang berlatih di stadium yang juga merupakan tempat perlawanan home game. Keadaannya memang seperti kita jangkakan bagi padang di Asia Tenggara.”

Foto ehsan : Kelantan United Football Club

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.