Aset lebih RM25 juta, kenapa tiada ‘helping hand’ dari DS Mukhriz?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tatkala saingan Liga Super bakal kembali bersambung pada 26 Ogos depan, belum ada jaminan isu tunggakan gaji lima bulan pasukan Kedah akan selesai sebelum tarikh itu.

Dengan pengurusan lama sudahpun mengambil pendekatan lepas tangan manakala pengurusan baru masih sedang bermain ‘blame game’ dan agak ‘slow‘ di dalam menyelesaikan masalah, impaknya adalah pada moral dan semangat pemain yang semakin luntur.

Kalaupun Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berjaya untuk membayar paling tidak dua bulan gaji sebelum liga kembali bersambung, boleh atau tidak penyokong Lang Merah mengharapkan prestasi yang luar biasa daripada para pemain dalam baki tujuh perlawanan? Tepuk dada tanya selera.

Presiden Muhammad Sanusi Md Nor telah menegaskan tidak akan guna dana kerajaan negeri untuk selesai masalah bola, sebolehnya mahu pengurusan lama pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga bertanggungjawab.

Baca : Kpah Sherman anggap tidak professional dedah gaji pemain kepada umum

Tetapi Sanusi dalam masa sama memberitahu sedang berunding dengan beberapa prospek penaja untuk cari solusi.

Mukhriz Mahathir pula meminta Sanusi jangan menuding jari dan cuba selesaikan masalah sepertimana beliau lakukan ketika mengambil alih pimpinan KFA beberapa tahun lalu.

Mukhriz memberitahu ketika kepimpinannya, KFA telah berunding untuk menurunkan belanja tahunan pasukan tanpa menjejaskan kebajikan pemain selain telah berusaha membiayai segala kos melalui geran kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah dan juga syarikat swasta.

Baca : Mukhriz jelaskan tiada pemain dibayar RM125K, minta Sanusi henti tuding jari

Umum mengetahui ketika Mukhriz meninggalkan KFA, pasukan itu sedang berdepan tunggakan gaji tiga bulan.

Sebelum berundur Mukhriz dilaporkan telah meluluskan peruntukan RM2 juta dana kerajaan negeri yang mana akan dibayar kepada pemain sebelum Aidilfitri tetapi pertukaran kepimpinan menyebabkan dana itu tidak sempat diluluskan.

Apa yang menarik perhatian, ketika KFA berdepan masalah kewangan tenat dan pemain-pemain mula mengeluh tidak dibayar gaji sehingga perkara itu sampai ke telinga Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (Penaung Persatuan Pemain Profesional Malaysia), kenapa tidak ada inisiatif diambil Mukhriz untuk menggunakan duit sendiri membayar tunggakan tersebut.

ANNUAR MUSA, BIBI RAMJANI PUN PAKAI DUIT SENDIRI

Jika Mukhriz tidak berduit seperti Wan Rahim Wan Abdullah (bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan) mungkin boleh diterima, tetapi jangan tak tahu Mukhriz berpendapatan lebih RM100,000 sebulan dengan aset melebihi RM25 juta.

Ini berdasarkan deklarasi terakhir dibuatnya di laman Perisytiharan Harta SPRM pada 2018 dan pada 2020 jumlah itu pastinya lebih tinggi.

Sebagai Presiden yang mengutamakan kebajikan, bukankah itu langkah pertama sepatutnya diambil Mukhriz apabila KFA dihimpit masalah kewangan tenat. Setakat menghulur RM2 juta, apalah sangat?

Sebagai perbandingan, ketika KAFA di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa, beliau telah menghabiskan duit sendiri berjuta-juta demi bolasepak Kelantan sebelum akhirnya mengalah dan membuat keputusan berundur.

Malah, penggantinya Bibi Ramjani Ilias Khan walaupun selalu dikatakan ‘buta pengurusan bola’ tetap menggunakan duit sendiri sekitar RM6 juta untuk menyelesaikan tunggakan dan hutang lapuk sebelum didesak lepaskan jawatan.

Baca : Saya tidak pernah lepas tangan, tapi didesak supaya berundur – Bibi Ramjani

Hanya Wan Rahim tidak dapat berbuat demikian kerana tidak berduit, atas dasar apa dia jadi Presiden pun masih gagal difahami penyokong Kelantan sehingga kini.

Berbalik kepada cerita Mukhriz, isu kewangan KFA mungkin tidak meleret hingga ke tahap ini jika ada perancangan kewangan yang betul dan ‘back-up plan’ dari pengurusan andai berlaku situasi tidak diingini, dan dalam situasi mendesak Mukhriz seharusnya berbesar hati mengeluarkan duit dari poket sendiri.

Ia bukanlah untuk orang lain, tetapi untuk bolasepak Kedah yang beliau sayangi.

Dan jika benar sayang, hulurlah sedikit ‘helping hands‘ dari sekadar menjadi pemerhati dan membiarkan bolasepak Kedah berkubur hanya kerana mahu melihat musuh politik anda ditertawakan.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.