Ash Hameed, ‘wonderkid’ yang karam kariernya pada usia 20 tahun

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kebelakangan ini ramai pemain-pemain remaja tempatan mencuri tumpuan dengan mendapat tempat beraksi di kelab atau akademi bolasepak luar negara.

Luqman Hakim telah berkelana ke Belgium, kemudian Omar Raiyan Kama yang dilaporkan telah menyertai pasukan B-17 Red Star Belgrade serta Allee Putra Azril yang menandatangani kontrak bersama akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City.

Luqman Hakim berusia 19 tahun manakala dua ‘wonderkid’ itu pula baru berusia 16 tahun. Hakikatnya, arena bolasepak Malaysia sememangnya tidak pernah ketandusan mengetengahkan ‘wonderkid’ – Nazmi Faiz adalah nama yang pantas menjengah pemikiran – tetapi berapa ramai yang boleh melangkah jauh mencipta nama sebagai pemain professional?

Antara pemain yang pernah digelar ‘wonderkid’ tetapi kemudiannya hilang dari radar adalah Ash Hameed.

Ash Hameed adalah pemain posisi penyerang berasal dari Selangor yang ditandatangani Akademi Queens Park Rangers (QPR) pada 2010, ketika usianya baru 13 tahun.

Empat tahun selepas itu, Ash Hameed mencipta kejutan dan menjadi tumpuan penyokong bolasepak tempatan apabila ditandatangani Kelantan. Pengendali Kelantan ketika itu, George Boateng menurunkan Ash Hameed yang baru berusia 16 tahun di dalam skuad senior Kelantan ketika perlawanan persahabatan dan tertarik dengan pemain berkaki kidal itu.

Ini komen George Boateng ketika Kelantan menandatangani khidmatnya pada September 2014.

“Kita mendapatkan Ash untuk beraksi bersama skuad Piala Presiden tetapi apabila melihatnya sewaktu sesi latihan, saya merasakan tahap Ash boleh menandingi pemain skuad utama. Dia mempunyai gerakan yang baik, struktur badan yang sempurna sebagai seorang penyerang, saya berikannya peluang beraksi 90 minit dan dia tidak mengecewakan.

“Pada usianya, 16 tahun, dia cukup bagus. Saya merasakan apabila kita mempunyai prospek masa depan seperti ini, tidak perlu lengahkan masa berikannya pendedahan. Saya percaya dia adalah rekrutmen terbaik untuk masa depan TRW yang boleh menyumbang kepada kejayaan pasukan, dan kita perlu mengekalkannya bersama pasukan ini untuk satu tempoh panjang,” kata Boateng.

Kata-kata Boateng jelas membuktikan Ash Hameed mempunyai masa depan cerah untuk mengembangkan karier, tetapi hanya beberapa bulan selepas itu, perjalanan kariernya berubah sekelip mata apabila dia sudah tidak lagi bersama The Red Warriors sebaliknya telah menyertai pasukan yang baru ditubuhkan untuk bermain di Liga FAM, Real Mulia FC bimbingan Yunus Alif.

Ash Hameed penyerang Real Mulia Ash Hameed, 'wonderkid' yang karam kariernya pada usia 20 tahun

Mengenai apa yang berlaku, ini penjelasan ayah Ash Hameed, Shahul Hameed.

“Telah berlaku sedikit perselisihan antara Ash dan seorang pemain TRW (Wan Zack Haikal) yang mengundang pergaduhan kecil. Pergeseran antara rakan sepasukan di atas padang adalah perkara biasa, namun Ash masih lagi seorang remaja, berusia 17 tahun, pada saya cara dia diperlakukan adalah tidak betul.

“Perkara ini telah mengundang campur tangan Boateng yang berkata perkara seperti ini tidak akan berulang. Tetapi saya merasakan tiada jaminan kejadian seperti ini tidak akan terjadi lagi apatah lagi pengurusan seolah tidak peka dengan kejadian ini.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan KAFA untuk meminta dia dilepaskan. Walaupun keberatan pada awalnya, KAFA bersetuju dengan permintaan kami untuk dia dilepaskan atas persetujuan bersama. Perkara ini telah selesai dengan baik dan kami mengucapkan terima kasih kepada Kelantan kerana telah memberi Ash peluang menimba ilmu dan menyarung jersi Kelantan.

“Semoga keputusan ini juga baik untuk perkembangan karier Ash. Mungkin belum masanya untuk dia beraksi dalam Liga Super tetapi dia akan menapak dari bawah dan memberikan yang terbaik untuk Real Mulia.”

Bersama Real Mulia, Ash Hameed dilabel bintang dalam pembikinan oleh Alistair Edwards (Pengarah Teknikal Real Mulia) tetapi usia muda menyebabkannya sukar memenangi kepercayaan Yunus Alif yang mempertaruhkan dua penyerang dari Terengganu Wan Alif Jasmi dan Hasrolsyawal Hamid sebagai penyerang utama. Ash pada hakikatnya tidak langsung berjaya memecah masuk ke dalam kesebelasan utama dan hanya diturunkan pada dua perlawanan terakhir yang merupakan perlawanan pelengkap jadual.

Selepas Real Mulia ditutup, dia menyertai pula pasukan MIFA (kini PJ City) pada 2016 dan mendapat panggilan untuk menyertai latihan pusat skuad Projek Sukan SEA 2017 namun malangnya mengalami kecederaan ACL dan tidak beraksi selama lebih setahun.

Apabila kembali daripada kecederaan, dia sekadar bermain dengan pasukan Piala Presiden MIFA dan kemudiannya lebih aktif bergiat dalam permainan teqball.

Hanya pada tahun lalu, pemain ini kembali ke dalam arena bolasepak dengan menyertai pasukan amatur Pandan United Football Club kendalian bekas pemain ragbi Malaysia, Iskandar Salleh yang akan beraksi di Liga M4.

Begitulah perjalanan karier seorang wonderkid yang berjaya memenangi perhatian George Boateng dan Alistair Edwards (kini Pengarah Teknikal JDT), dan jangan lupa usianya baru sahaja 23 tahun.

Rujukan utama : Suara Sukan Anda ; Foto : Real Mulia FC, TRWFC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.