Asmirul : Bukan mudah nak menyeleweng, kalau betul sila lapor pada polis, SPRM

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menepis dakwaan berlakunya penipuan dan penyelewengan dalam pengurusan terdahulu, sepertimana didedahkan oleh Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi pada Selasa mendedahkan pihaknya mengesan penipuan penyata gaji pemain pasukan Kedah yang dilakukan pengurusan KFA terdahulu sehingga menyebabkan persatuan berkenaan menanggung hutang hampir RM5 juta kepada dua badan berkanun.

Sanusi berkata pengurusan terdahulu dipercayai membuat dua penyata gaji pemain iaitu penyata gaji yang lebih rendah bagi diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); manakala penyata gaji sebenar yang diberi kepada pemain pula menyatakan terdapat potongan LHDN dan caruman KWSP dibayar majikan kepada dua pihak terbabit.

“Bagaimanapun, KFA pada waktu itu didapati gagal membayar potongan itu selepas pemain pergi ke pejabat badan berkanun terbabit dan menunjukkan penyata sebenar yang terdapat potongan dibuat,” kata Sanusi.

Tetapi Asmirul menganggap ia satu tohmahan tidak berasas kerana pengurusan terdahulu cukup menekankan integriti lantas mencabar KFA melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika yakin dakwaan itu benar.

“Tidak semudah itu untuk melakukan penyelewengan kerana organisasi ini dipantau oleh juruaudit luar yang dilantik. Apatah lagi Jawatankuasa Eksekutif Organisasi KFA semasa zaman kami turut dianggotai oleh anggota SPRM dan PDRM.

“Sebab itu saya kata kita hendak integriti, jadi eloklah kita buat aduan dan semak di mana palsunya penyata gaji itu. Macam saya kalau cek itu RM1 juta contohnya, saya tandatangan saja dan selebihnya diuruskan oleh pihak pengurusan KFA yang lain,” katanya kepada pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Alor Star pada Rabu.

Sementara itu mengenai keraguan pada jumlah kutipan Tabung CAS bagi menampung kos perbicaraan kes perpindahan Akhyar Rashid di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), Mohd Asmirul Anuar berkata, terdapat salah faham berkaitan jumlah yang berjaya dikutip.

“Jangkaan kutipan awal bagi tabung itu ialah RM50,000. Bagaimanapun jumlah yang berjaya dipungut hanya RM10,000. Sasaran itu adalah untuk membayar kos guaman yang melebihi RM100,000 tetapi hasil kutipan tidak sampai jumlah sasaran.

“Duit itu bagaimanapun telah dimasukkan terus ke dalam akaun KFA, jadi tidak timbul soal dana tersebut disalahgunakan oleh mana-mana pihak.

“Mengenai kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Presiden KFA pada tahun lepas mengenai jumlah RM50,000 yang sudah habis digunakan, saya fikir berlaku kesilapan dan salah faham semasa kenyataan itu dikeluarkan,” katanya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.