Asri Ninggal Bersyukur Curi Satu Mata Dari JDT

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jurulatih Melaka United, Asri Ninggal lega pasukannya berjaya mengelak daripada menjadi mangsa belasahan pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim sepertimana jangkaan ramai.

Mengambil kira prestasi semasa kedua-dua pasukan, Melaka dijangka mudah diratah JDT yang sedang unggul di carta liga tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka berjaya mencuri satu mata menerusi keputusan seri 1-1 di Stadium Hang Jebat.

Menurut Asri Ninggal, keputusan itu dibantu ‘kerja rumah’ yang dilakukan tatkala beliau mengakui di atas kertas sememangnya JDT pasukan amat baik dengan barisan import dan pemain kebangsaan yang mereka ada.

Tambah beliau lagi, satu mata yang diraih itu sangat bermakna memandangkan Melaka United sebelum ini tewas kesemua tujuh perlawanan terakhir menentang JDT malah baru-baru ini dikecewakan pula oleh Sarawak United pada minit akhir.

“Kalau kita beri mereka ruang, mereka akan mudah menghukum kita, jadi kita telah berjaya melakukan ‘homework’ itu dengan sorakan padu ribuan penyokong walaupun penyokong JDT lebih ramai daripada kita. Pemain mahu buktikan yang mereka boleh bermain dengan baik, mereka fokus dan berdisiplin sepanjang perlawanan, itu yang paling penting,” katanya.

Asri juga gembira kerana pemain-pemain yang diturunkan sebagai menggantikan pemain utama yang cedera menunjukkan komitmen yang cukup baik, justeru berharap mereka boleh membuktikan sesuatu apabila turun menentang Selangor selepas ini.

Sementara itu, jurulatih JDT, Benjamin Mora mengakui keputusan seri itu bukan sesuatu yang diharapkan, namun persembahan pemain tetap membanggakan dengan melakukan formasi yang disusun diterjemahkan dengan baik.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.