Azhad Harraz Arman, Bintang Muda Yang Ada Masa Depan Cerah

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Penyerang muda skuad Projek FAM-MSN, Azhad Harraz Arman disifatkan sebagai prospek masa depan negara yang perlu diberi perhatian berikutan prestasi yang cukup baik ditunjukkan musim ini.

Meskipun Skuad Projek FAM-MSN sedang bergelut dalam pentas Liga Premier dengan menduduki tangga tercorot, Azhad Harraz Arman berjaya mencuri tumpuan dengan sentuhan klinikal di mana setakat ini dia telah meledak lapan gol dalam 18 perlawanan.

Menurut Yusri Che Lah (ketua jurulatih skuad projek FAM-MSN), apa yang dilakukan oleh pemain berusia 18 tahun ini terutamanya bersaing bersama majoriti pemain-pemain lebih berpengalaman di Liga Premier membuktikan dia mampu untuk menyerlah sekiranya diberi peluang di landasan yang tepat demi kariernya.

“Jika dilihat pada usia muda 18 tahun, Azhad Harraz Arman telah melakukan sesuatu yang cukup bagus bersama pasukan dan seharusnya beliau perlu diberi masa dan minit permainan yang lebih untuk mengembangkan lagi bakatnya.

“Dia memiliki ciri-ciri seorang penyerang yang kita nak, tetapi dia masih muda dan sudah tentu banyak kelemahan lagi yang perlu dia perbaiki.

“Bagi saya, dia memang antara prospek yang baik selepas kita juga pernah memilik nama-nama lain seperti contoh Luqman Hakim Shamsuddin dan ramai lagi prospek muda.

“Saya percaya dia akan lebih berjaya seandainya terus bekerja keras sepertimana yang dia lakukan sekarang bersama pasukan,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai baki dua perlawanan Liga Premier menentang Perak FC II dan Kuching City, Yusri mengharapkan barisan pemain tetap berjuang untuk sekurang-kurangnya tidak bolos dengan jumlah jaringan yang besar.

“Saya harap akan ada tanda positif untuk pasukan kita dalam baki dua perlawanan ini. Kalau kita bandingkan prestasi di pusingan pertama liga, kita dapat lihat bagaimana kita sering bocor di gawang dengan gol yang banyak.

“Tetapi perubahan positif boleh dilihat apabila di pusingan kedua dan harapnya benda-benda positif ini akan terus memotivasikan pemain untuk memberikan yang terbaik dalam dua perlawanan ini”, tambahnya.

Foto ehsan : Sportflex Malaysia

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.