Saturday, July 24, 2021
HomeLain-LainAzizulhasni Awang terkejut bergelar Datuk seminggu sebelum Olimpik 2020

Azizulhasni Awang terkejut bergelar Datuk seminggu sebelum Olimpik 2020

Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang mengakui terkejut dan tidak percaya apabila mendapat tahu dia dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang membawa gelaran Datuk.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Pejabat Sultan Terengganu pada Ahad, pemenang pingat gangsa dalam acara keirin di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 itu tersenarai antara 10 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T).

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Datuk Isa @ Ghazali Endut berkata, pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tahun 2021 itu berkuatkuasa mulai hari ini.

Azizulhasni Awang yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan tertinggi buatnya selepas lebih 15 tahun terlibat dalam sukan berbasikal, dalam masa sama suntikan terbaik menjelang Sukan Olimpik 2020 yang bermula minggu depan.

Baca juga : Insiden tertusuk kayu, Azizulhasni Awang akui tipu jurulatih demi menjaga status no.1 dunia

“Pertamanya rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) serta semua orang kuat yang berada di depan dan belakang tabir termasuk pihak media yang menyokong sejak awal pembabitan saya dalam sukan berbasikal ini.

“Terus terang saya terkejut mendengar berita ini, pada mulanya saya tidak percaya malah menyangka ia sebagai gurauan daripada rakan-rakan dan sahabat media kerana berbaki seminggu lagi sebelum saya bertolak ke Jepun.

“Namun selepas diyakinkan beberapa pihak, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua terutama Sultan Terengganu selain tidak menyangka gelaran itu adalah betul berlaku dan bukannya gurauan,” kata Azizulhasni Awang kepada Sukan NSTP.

Sebagai makluman, Azizulhasni Awang akan terbang ke Tokyo pada 25 Julai dan turun ke gelanggang dalam acara pecut pada 4,5 dan 6 Ogos dan diikuti acara keirin pada 7 dan 8 Ogos.

“Sudah pasti gelaran itu (Datuk) menyuntik lagi semangat saya untuk merealisasikan impian negara memburu pingat emas pertama dalam temasya terbesar dunia itu.

“Namun saya memohon doa daripada seluruh peminat negara agar saya mampu beraksi dengan baik sambil mendoakan seluruh kontinjen negara bebas daripada sebarang masalah termasuk wabak pandemik Covid-19 yang sudah tentu dibimbangi semua,” ujarnya.

Selain Azizulhasni Awang, turut menjadi sandaran kontijen negara untuk menamatkan kemarau pingat emas adalah skuad badminton yang diketuai Lee Zii Jia serta skuad terjun negara diketuai Pandelela Rinong Pamg.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.