Azizulhasni Awang Dedah Al-Quran Rahsia Dia Tenang Hadapi Tekanan Di Tokyo

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan rahsia dia boleh kekal tenang menghadapi tekanan besar ketika beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 seterusnya berjaya menghadiahkan pingat perak buat kontijen negara.

“Pergi ke sesebuah kejohanan dengan suatu tekanan yang besar bukan satu urusan yang mudah, apatah lagi apabila bertanding di temasya yang terbesar di dunia. Bagi mereka yang pernah berkecimpung dalam arena sukan mereka akan faham benar.

“Tidak kiralah kecil atau besar sesebuah kejohanan itu, tetapi apabila kita menggalas sesebuah harapan besar yang diberikan, ianya umpama ada suatu bebanan di atas kepala serta seluruh badan kita yang kita bawa kemana-mana.

“Ada yang tanya apakah rahsia saya kekal tenang menghadapi situasi-situasi yang extreme ini? Jawapan saya adalah Al-Quran. Ketika kem latihan di Nilai, saya dah mulakan misi membaca Al-Quran untuk khatam sebelum pertandingan.

“Tapi maklumlah, latihan sangatlah teruk waktu tu ditambah dengan kesibukkan pelbagai aktiviti bersama dengan pasukan membuatkan kuantiti bacaan agak perlahan. Tetapi selepas tamat saja kem latihan dan terbang ke Tokyo ianya memberikan saya lebih banyak ruang untuk memberikan tumpuan kepada bacaan.

“Bermula di atas kapal terbang menuju ke Tokyo, saya tidak mensia-siakan waktu yang ada. Separuh perjalanan saya luangkan dengan bacaan. Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican yang ketika itu ternampak dan mengetahui misi tersebut memberikan kata-kata semangat dan juga beberapa tips kerohanian.

“Boleh kata semua waktu terluang yang ada ketika di perkampungan sukan tu, saya memang mengejar bacaan.

“Bila kita baca Al-Quran ni tak mudah, banyak dugaan-dugaan dia. Ada saja bisikan-bisikan yang cuba mematahkan semangat kita. Sebab tu bila kita baca Al-Quran di bulan Ramadhan sangat berbeza ketika baca di bulan-bulan yang biasa. Apabila setiap kali ada perasaan ‘berat’ tu, saya akan lawan dan lawan dan lawan.

“Waktu saya baca Al-Quran tu, seolah-olah saya berada di dunia vakum (vacuum). Bukan vakum yang korang sedut debu-debu karpet dekat rumah korang tu, tetapi dunia vakum yang dikenali sebagai hampagas dalam hukum fizik.

“Jauh pulak saya menyimpang, maaf. Tetapi setiap kali saya membuat bacaan, saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sekeliling saya. Saya seolah-olah berada di dimensi yang berbeza. Saya dapat lupakan seketika kepenatan dari latihan, tekanan yang berada di bahu saya dan juga segala macam masalah-masalah duniawi yang tersumbat di kepala.

“Tenang. Bukan mudah untuk tenang apabila kejohanan terbesar dalam karier kita hanya ada beberapa hari saja lagi. Tapi sumpah tak tipu, memang dengan bacaan Al-Quran ni membuatkan pemikiran dan jiwa saya tidak bergelora.

“Syukur, kepada Allah SWT saya dapat khatam bacaan pada hari Jumaat, sehari sebelum saya memulakan perlumbaan acara Keirin. Sejurus selepas khatam tu, saya terus bernazar kepada Allah SWT dan saya meletakkan segala perihal dan urusan perlumbaan saya kepadaNya kerana Dia lah Al-‘Alim, Allah yang Maha mengetahui segalanya,” demikian nukilan Azizulhasni di media sosialnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.