Azizulhasni Kecewa, Beremosi, Titiskan Air Mata Tak Dapat Tunaikan Janji

Azizulhasni
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang jelas tidak dapat menahan emosi selepas gagal untuk memenangi pingat emas dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Meskipun seluruh Malaysia tetap berbangga dengan kejayaannya memenangi pingat perak yang memperbaiki pencapaian pingat gangsa di Rio De Janeiro 2016, Azizulhasni dalam perkongsian selepas perlumbaan tersebut mengatakan dia datang ke Tokyo hanya dengan satu impian iaitu memenangi pingat emas.

“Perjalanan saya penuh suka duka, pahit manis, saya datang sini nak menang emas, apa sekalipun saya nak rakyat Malaysia tahu sejak dari awal (hari pertama) saya dah berikan terbaik lebih dari yang saya mampu.

“Masa perlumbaan, saya teringat anak dan isteri saya di Melbourne, saya teringat mak saya, saya tinggal mak saya sejak dari tingkatan tiga, mak saya duk seorang diri. Sebelum terbang ke Tokyo saya dapat tahu ayah saya masuk hospital.

“Adik-beradik saya cakap Jijoe, awak fokus sahaja kepada Olimpik, tak perlu fikir pasal ayah, ayah saya kena mild strok, saya tak ada pilihan, saya fikirkan tanggungjawab demi negara.

“Anak saya setiap hari call, tanya bila nak balik, bila nak habis, saya cakap sekejap lagi nak habis. Saya teringat muka anak, isteri, mak ayah masa berlumba, saya harap saya tak kecewakan mereka, saya dah buat yang terbaik untuk mereka dan untuk seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan saya,” katanya.

Mengenai perlumbaan, Azizulhasni berkata, “Saya sudah buat persiapan yang terbaik untuk hari ini, semalam pun saya cuma tidur ayam, fikirkan apa strategi untuk hari ini. Tapi walaupun begitu, ia tidak menganggu kayuhan. Suku akhir, separuh akhir saya buat dengan baik, semua ok.

“Cuma untuk final, dapat undian yang agak buruk, saya dapat nombor lima. Jason Kenny mendapat kelebihan undian dan ia membantu dia untuk pasang strategi.

“Saya tak boleh pecut awal sebenarnya kerana ia agak berisiko ada tiga seiko-rider (pelumba yang berada di luar tetapi tidak agresif) cuma saya tak faham apa yang pelumba belakang Jason Kenny tu buat, dia sepatutnya himpit tapi memberikan terlalu banyak gap.”

Pingat emas acara keirin dimenangi Jason Kenny dari Great Britain yang mempertahankan kemenangan di Rio De Janeiro, Azizuhasni di tempat kedua dan pelumba Belanda, Harry Lavreysen memenangi gangsa.

Azizulhasni turut mendapat perkhabaran gembira selepas tamat perlumbaan, apabila mendapat tahu isterinya Datin Athiah Ilyana mengandung anak ketiga mereka.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.