Azmeer bina rumah, tawar kelas agama buat bekas pemain kebangsaan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kehidupan daif bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Azhar Shariff mendapat perhatian Azmeer Yusof, bekas pemain pertahanan Kedah yang sedia menawarkan sebuah rumah selesa dan menyediakan kelas agama buatnya di Kedah.

Arena Metro melaporkan Azhar Sharif yang pernah membantu skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka 1986 kini hidup menumpang di sebuah rumah usang di dalam hutan simpan di Kampung Kemensah, Hulu Kelang.

Selain mengakui kadangkala hanya makan ubi kayu untuk meneruskan kehidupan, Azhar Sharif juga mendedahkan keinginan untuk mencari ilmu agama untuk kehidupan lebih sempurna dan sebagai bekalan di akhirat.

“Saya nak tawarkan kepada abang Azhar menetap di tempat pengajian Islam saya di sini (Kedah). Insya-Allah saya akan sediakan tempat tinggal yang selesa buatnya dan saya juga akan bina sebuah rumah dengan satu bilik supaya lebih selesa dan memudahkan untuk bergerak ke pusat pengajian untuk belajar agama.

“Di sini, kita akan belajar mengaji dan perkara-perkara lain lagi dan ia memang sesuai buat otai kita,” kata Azmeer Yusof kepada Arena Metro.

Menurut Azmeer lagi, “Sebenarnya saya ada satu impian iaitu nak wujudkan Persatuan Kebajikan Bekas Pemain suatu hari nanti. Mungkin kat luar sana dah ada persatuan macam itu, tapi saya nak nasib bekas pemain dibela dengan sebaiknya.

“Kalau dulu pemain dipuja tapi kenapa bila dah bersara tak ada siapa yang nak ambil tahu. Mana-mana pemain yang nak ikut saya nanti, mungkin kita boleh sama-sama sumbangkan RM100 sebulan untuk bantu dana kita.

“Insya-Allah selepas siap sepenuhnya pusat pengajian saya nanti, saya akan usahakan pula impian saya itu untuk bantu bekas pemain negara pula.”

Sementara itu, Azhar Shariff nyata terharu dan bersyukur dengan perhatian ditunjukkan Azmeer Yusof, malah bersedia untuk menerima tawaran tersebut.

“Saya nak sangat belajar mengaji dan tak kisah kalau kena pergi ke Kedah atau mana-mana asalkan dapat mengaji dan belajar agama sebab itu yang saya nak sekarang.

“Terima kasih dan Alhamdulillah kepada Azmeer kerana sudi menawarkan tempat belajar dan rumah buat saya nanti. Cuma saya nak kena bincang dan nak cari orang yang boleh bawa saya ke sana,” ujarnya yang berusia 56 tahun. 

Kredit : Arena Metro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.