Azmeer terkilan ada minit permainan lebih tetapi tidak pernah dipanggil wakili Harimau Malaya

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Baru berusia 30 tahun tetapi bekas pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof membuat keputusan bersara sebagai pemain bolasepak professional bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang perniagaan dan Pusat Pengajian Azmeer Yusoff (PPAY) yang diusahakannya ketika ini.

“Kepada peminat di luar sana, saya berharap semua dapat terima dengan keputusan saya ini dan saya minta maaf sangat sangat kerana tak dapat meneruskan apa yang kalian doa dan harapkan untuk saya teruskan dalam bola sepak.

“Separuh umur saya membabitkan diri dalam arena bola sepak tempatan dan saya rasa inilah masa yang sesuai untuk saya berundur dari bidang bola sepak ke bidang keusahawan dan kebajikan Islam dan memang impian saya nak bersara selepas saya menyertai Kedah dan impian itu kini tercapai.

“Kini saya mahu meneruskan haluan baharu demi cita-cita yang saya pendamkan selama ini dan saya nekad untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan dan kebajikan melalui PPAY ini,” kata Azmeer yang juga pernah menyarung jersi pasukan Kuala Lumpur, Perak, Proton FC, Pos Malaysia, Negeri Sembilan dan ATM FA dalam perjalanan kariernya sebagai pemain professional.

Azmeer Kedah Azmeer terkilan ada minit permainan lebih tetapi tidak pernah dipanggil wakili Harimau Malaya
Foto ehsan : NSTP

Pemain yang memenangi Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2019 bersama Kedah, selain menjulang Liga Premier bersama Kuala Lumpur pada 2017 itu bagaimanapun meluahkan rasa terkilan kerana impian menyarung jersi skuad kebangsaan tidak tercapai.

“Itu adalah impian saya sejak kecil dan saya memiliki minit permainan yang melebihi sesetengah pemain yang terpilih namun, saya anggap itu sebagai tiada rezeki.

“Pada pendapat saya, bab pemilihan pemain untuk mewakili negara ini sewajarnya dipilih berdasarkan minit permainan seseorang pemain itu dan ini perlu diutamakan dan diambilkira sebelum pertimbangan lain oleh jurulatih.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak, penyokong yang telah memberi semangat selama saya beraksi sebagai pemain dan saya juga berharap mereka mendoakan kejayaan saya seterusnya dalam bidang keusahawan dan terus menyokong apa yang saya ceburi ini,” kata Azmeer lagi.

Sementara itu, pemain kelahiran Taiping itu turut memberitahu bahawa niat untuk beramal dan membantu rakyat yang memerlukan bantuan timbul sejak pemerhatiannya dua tahun lalu dan langkah seterusnya pada tahun 2021 adalah memulakan program bantuan pemulihan rumah untuk golongan berkenaan bersama usaha sama dengan sebuah syarikat pembinaan.

“Dana untuk pembinaan baik pulih rumah itu pula datangnya dari beberapa rangkaian perniagaan yang saya jalankan kini seperti syarikat perniagaan pengangkutan sampah, syarikat gunting rambut di sekitar Kedah, kedai pakaian sukan dan lain lain.” katanya.

Sumber : Arena Metro 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.