Azmeer Yusof cadang tubuhkan pasukan sendiri

Azmeer Yusof
Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Meskipun sudah mengumumkan persaraan pada usia muda, cinta Azmeer Yusof terhadap bolasepak belum pudar apabila bekas pemain pertahanan Kedah itu meluahkan keinginannya untuk memiliki pasukan sendiri.

“Jika ditanya tentang bola sepak, buat masa ini saya hanya menumpukan kepada kebajikan. Saya terpanggil untuk membantu ramai pihak di luar sana.

“Tetapi saya ada impian untuk menubuhkan pasukan sendiri. Buat masa ini, saya sedang menunggu proses padang sendiri yang dijangka siap pada pertengahan tahun ini. Insya-ALLAH selepas siap nanti, saya akan adakan liga dan pasukan sendiri di Tongkang Yard, Kedah,” ujar Azmeer Yusof sepertimana dilaporkan Sinar Ahad.

Azmeer yang terlibat sebagai pemain bolasepak professional sejak usianya 18 tahun bersama Kuala Lumpur pada 2008, baru-baru ini membuat keputusan untuk bersara sebagai pemain bagi memberi sepenuh perhatian kepada bidang perniagaan dan Pusat Pengajian Azmeer Yusof yang sedang diusahakannya.

Ia hadir sebagai kejutan besar buat penyokong bolasepak tanah air, apatah lagi Azmeer yang bermain sebagai bek kiri baru sahaja berusia 30 tahun.

“Cukuplah apa yang sudah saya lalui sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional. Macam-macam sudah saya harungi, baik pada saat suka mahupun duka, semuanya jadi kenangan. Walaupun ada beberapa rakan mengatakan rugi saya bersara awal, tetapi saya tidak rasa sebegitu.

“Malah, saya sekarang menikmati tempoh persaraan dengan rasa tenang dan menganggap ini keputusan terbaik buat diri sendiri. Tidak ada apa yang hendak dikejarkan lagi kerana segala keperluan cukup untuk saya sekeluarga,” ujar pemenang Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2019 bersama Kedah itu.

Satu-satunya impian tidak kesampaian pemain yang turut pernah menyarung jersi Perak, Negeri Sembilan dan ATM FA itu adalah menyarung jersi pasukan kebangsaan dan dia mengakui terkilan tidak pernah terpilih meskipun mempunyai minit permainan yang jauh lebih tinggi berbanding pemain-pemain lain yang dipanggil.

“Bukan rezeki saya, tetapi pemilihan pemain untuk mewakili pasukan negara sewajarnya berdasarkan minit permainan seseorang pemain itu dan ini perlu diutamakan dan diambilkira sebelum pertimbangan lain oleh barisan kejurulatihan,” katanya ketika umumkan persaraan tempoh hari.

Mengenai PPAY yang mula ditubuhkannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada Mac tahun lepas, Azmeer berkata, “Pada mulanya, ia hanya untuk diri saya sendiri tetapi kemudiannya, saya mendapat ilham untuk mengajar lebih ramai orang datang mendekatkan diri dengan al-Quran.”

Azmeer sememangnya diketahui sebagai seorang yang suka mencuba sesuatu yang baru bagi menambah pendapatan, di mana pada ketika awal PKP tahun lalu, dia mencuri tumpuan apabila terlibat di dalam perniagaan pembersihan sampah dan juga penjual ikan segar, manakala ketika bulan puasa dan Aidilfitri dia berniaga lemang.

Dia juga sentiasa memberikan nasihat-nasihat yang berguna khususnya kepada pemain muda, dan meminta mereka supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya ketika dilimpahi kemewahan dan gaji besar.

Foto : Kedah FA Official/Media KFA

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.