Azmeer Yusoff jual ikan lebih 1 tan sehari sepanjang PKP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah yang dibuktikan oleh pertahanan Kedah, Azmeer Yusoff.

Tidak mahu mengharapkan gaji sebagai pemain bola semata-mata, Azmeer kini menjadi penjual ikan segar, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Menurutnya, pemain bolasepak tidak selalunya berada di atas dan sudah sepatutnya mula memikirkan tentang sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan.

“Kepada pemain-pemain bolasepak di luar sana, apa yang jadi sekarang ini adalah pra-persaraan. Selepas kita semua berhenti main bolasepak, apa pekerjaan kita? Kita harus fikirkan mulai sekarang. Tak selamanya kita berada di atas. Satu masa nanti kita akan landing ke tanah jua dan jadi seperti orang biasa. Jangan malu lakukan apa-apa pekerjaan sekali pun. Yang penting halal di sisi agama islam.

“Saya nak ajak sahabat ‘sedunia’ dengan saya (pemain bolasepak) supaya kembali kepada yang asal. Lupakan bolasepak dan fikirkan ke masa hadapan. Cari pendapatan lain terutama berniaga sepanjang PKP ini, jangan mengharapkan gaji bola semata-mata.

“Ingat, tak selamanya bolasepak mahukan kita, tak selamanya coach mahukan kita. Tak selamanya majikan mahukan kita. Sedia dari sekarang guys!”

Menceritakan tentang bagaimana dia boleh terlibat dengan perniagaan ini, Azmeer berkata ia bermula daripada niat mengeluarkan modal bagi membantu sepupu, Hazali Hamid, menjalankan perniagaan pembersihan sampah.

Namun berikutan pelaksanaan PKP, sepupunya tidak dapat memulakan perniagaan itu dan selepas berbincang, mereka berdua mencapai kata sepakat menjalankan perniagaan menjual ikan.

“Saya dengan sepupu cukup rapat sejak kecil kerana dia banyak membantu perkembangan karier saya sejak aktif bermain bola sepak.

“Sebagai membalas budinya yang tidak jemu menyokong karier saya, saya telah belikan lori dan tiga tong sampah sebagai permulaan perniagaan pembersihan sampah.

“Bagaimanapun hasrat itu tidak dapat diteruskan buat masa ini,jadi kami ambil keputusan menjual ikan memandangkan saya tahu saluran mendapatkan ikan terus daripada peraih di Kedah.

“Bermula daripada 500 kilogram pengambilan, kami boleh menjual dalam 1.2 tan ke 1.3 tan sehari di sekitar Kuala Lumpur.

“Memang sama sekali tidak sangka sambutan cukup baik dalam tempoh seminggu lebih ini dan alhamdulilah pulangannya begitu lumayan bagi kami berdua,” katanya.

Azmeer Yusoff Azmeer Yusoff jual ikan lebih 1 tan sehari sepanjang PKP

Azmeer merupakan antara pemain berpengalaman di posisi pertahanan kiri Liga Malaysia serta pernah bermain dengan banyak pasukan terkemuka seperti Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Azmeer bagaimanapun memberitahu dia tidak berhasrat meneruskan perniagaan ikan di jangka masa panjang kerana sudah ada cita-cita tersendiri dalam menubuhkan syarikat pembersihan sampah selepas bersara daripada dunia bola sepak.

“Mungkin selepas PKP berakhir, kami akan serahkan perniagaan ini kepada sepupu lain yang telah menyuarakan minat untuk mengambil alih manakala Hazali akan kembali fokus kepada perniagaan pengurusan pembersihan sampah.

“Niat saya mahu meneruskan legasi perniagaan ayah dan mahu dia berehat apabila saya boleh menumpukan perniagaan ini sepenuh masa,” katanya.

Foto : FB Azmeer Yusoff

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.