Azraai Khor Anggap Bolasepak Negara Tiada Masa Depan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Skuad bolasepak negara sekali lagi berdepan kritikan susulan dua kekalahan besar dialami di bumi Jordan minggu lalu.

Bagi jurulatih berpengalaman luas, Azraai Khor Abdullah, meskipun beliau melihat prestasi keseluruhan skuad Tan Cheng Hoe dari sudut positif terutama dalam aspek pendedahan kepada pemain baru, namun beliau menganggap bolasepak negara tiada masa depan selagi polisi lima pemain import dalam Liga Malaysia tidak dihapuskan.

Menurut Azraai Khor yang pernah membimbing skuad Harimau Muda, Cheng Hoe tidak boleh dipersalahkan atas pemilihan pemain yang dibuat serta kecenderungannya untuk berterusan memberi peluang kepada pemain yang kurang minit permainan kerana pada hakikatnya dia mempunyai pilihan pemain yang terhad.

Justeru Azraai Khor berharap penyokong dapat memahami hakikat tersebut kerana pada akhirnya pemain yang membentuk skuad kebangsaan datangnya daripada liga domestik kita sendiri yang mengehadkan peluang bermain kepada pemain tempatan.

“Sebagai bekas jurulatih, saya memahami perasaan Cheng Hoe mempunyai banyak benda yang ingin diluahkan tetapi ‘tidak boleh’ kerana terikat dengan tugas negara.

“Pandangan netizen suruh tukar jurulatih, memang senang. Kalau mereka pandai, pergi ambil lesen jurulatih dan jadi jurulatih sendiri. Kita tengok sampai tahap mana mereka boleh pergi.

“Malah kalau kita bawa Jurgen Kloop (Liverpool) atau Pep Guardiola (Man City) sekali pun belum tentu pasukan negara akan berjaya kerana polisi ini (lima pemain import).

“Kita mempunyai ramai, sangat ramai pemain-pemain muda berbakat, penyerang atau pemain tengah tetapi ke mana mereka apabila berada dalam skuad negara? Ini kerana mereka tidak cukup pendedahan sepenuhnya (dalam aksi liga).

“Kita tidak boleh salahkan jurulatih negeri kerana mereka pentingkan keputusan perlawanan sahaja, soal pembangunan memang tidak ada atau mungkin sangat minimum. Mereka lebih memilih lima pemain import sebagai pemain utama, dan dari situ sudah tentu minit pemain tempatan akan kurang.

“Dan apabila dipanggil bermain dalam skuad negara apa akan jadi? Mungkin yang saya nampak hanya Luqman Hakim yang ‘not bad’ manakala Syafiq Ahmad? Lihat kembali penglibatannya dalam aksi liga.

“Sebab itu saya cakap, polisi Liga Malaysia yang membenarkan lima pemain import memang punca ‘our football is going nowhere‘. Liga kita, kita yang rancang. Selagi polisi ini adalah, macam inilah bola sepak kita.

“Saya sebenarnya sudah kecewa dengan polisi ini dan tidak menyesal mengambil keputusan bersara sebagai jurulatih pasukan liga. Kita tengoklah aksi Piala AFF nanti,” kata Azraai Khor kepada Cakap Sukan.

Beliau yang pernah membimbing Kedah menjuarai treble dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008 juga berpendapat skuad negara sebenarnya tidak memerlukan sentuhan pemain naturalisasi selepas melihat mereka tidak berjaya membawa impak diharapkan.

“Saya lihat pemain naturalisasi (Guilherme de Paula) yang saya lihat turut dibawa ke Jordan yang realitinya tidak banyak membantu. Dia seolah berseorangan. Standard bawa pemain naturalisasi ini bukan segalanya. Tidak ada komunikasi dengan pemain lain, tak ada ‘eye-contact’, tak ada jiwa,” ujar Azraai Khor lagi.

Mengenai sama ada beliau sedia untuk kembali membimbing mana-mana pasukan Liga Malaysia jika diberi peluang, Azraai Khor berkata beliau sudah tawar hati.

“Cukuplah ikut telunjuk ‘orang’ sebelum ini, dan kalau saya kembali pun mungkin sebagai Pengarah Teknikal sahaja.

“Saya kira tanpa tekanan menjalani kerja-kerja kebajikan dalam pembangunan bola sepak, dijemput sebagai penceramah di akademi, anjurkan klinik bola sepak dan sebagainya. Saya tenang menyumbangkan pengalaman saya dengan cara begini,” ujarnya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.