Friday, July 23, 2021
HomeBola SepakKenapa pandang rendah pada pemain tempatan?

Kenapa pandang rendah pada pemain tempatan?

Dua jurulatih berpengalaman luas dalam arena bolasepak tanah air, Dollah Salleh dan Azraai Khor nampaknya berbeza pendapat mengenai potensi Harimau Malaya untuk pergi lebih jauh jika bersandarkan kepada kudrat pemain tempatan semata-mata.

Dollah Salleh sebelum ini berkata semua pihak harus berpijak di bumi nyata bahawa pasukan kebangsaan sememangnya memerlukan pemain naturalisasi yang mempunyai kelebihan daripada aspek fizikal selain daripada kemahiran di atas padang.

“Kalau tanya saya, memang benda ini (program naturalisasi) saya yang syorkan untuk kita ambil pemain-pemain naturalisasi ketika saya masih jurulatih kebangsaan suatu ketika dahulu.

“Ini hakikat yang kita semua perlu terima bahawa Malaysia memang perlukan pemain naturalisasi dan salah satu sebab adalah daripada segi fizikal kerana apabila bermain di peringkat Asia, ini belum cerita di pentas Eropah lagi, pemain-pemain tempatan kita sahaja belum cukup untuk bersaing.

Berita berkaitan : “Susah bersaing di pentas tertinggi kalau harap pemain tempatan semata-mata”

“Masing-masing ada pendapat sendiri, tetapi kalau ikut pengalaman saya, sukarlah kalau kita nak bergantung harap kepada pemain tempatan sahaja untuk ke peringkat tertinggi, jadi kita kena pastikan pemain naturalisasi ini benar-benar yang layak untuk bersama skuad kebangsaan,” kata Dollah yang membimbing Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF 2014.

Namun Azraai Khor yang membawa Kedah muncul juara ‘double-treble’ pada tahun 2007 dan 2008, selain turut pernah membimbing skuad Harimau Muda tidak bersetuju dengan  persepsi sedemikian.

“Saya tak setujulah dengan kenyataan sebegini dan janganlah kita perkecilkan kebolehan pemain tempatan. Kalau nak kata fizikal pemain, mengapa Vietnam boleh buktikan dengan pemain ‘bertubuh Asia’ dapat layak ke Pusingan Ketiga Piala Dunia.

“Kalau kita tengok negara yang pernah guna pemain naturalisasi macam Jepun pada tahun 1990-an, sekarang mereka dah berhenti gunakan pemain naturalisasi tetapi tumpu pada pembangunan akar umbi sendiri.

“Malah, kalau kita tengok contoh paling dekat, Singapura juga pernah gagal dalam program naturalisasi mereka. Bagi saya, program naturalisasi sekarang ini macam syok sendiri.

“Semua rakyat Malaysia dah lihat macam mana pencapaian pemain naturalisasi negara di Dubai yang sangat teruk. Saya fikir pemain tempatan jauh lebih baik walaupun mempunyai fizikal yang lebih kecil,” katanya kepada Sukan Sinar.

Ketika ini, Harimau Malaya diperkuatkan tiga pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh namun aksi mereka dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai baru-baru ini menerima kecaman ramai pihak ekoran prestasi hambar berbanding kelibat pemain tempatan.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.