Bagaimana Hafizh terselamat tanpa kecederaan serius dalam kemalangan ngeri itu?

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak sedikitpun trauma meskipun baru sahaja terlibat dalam kemalangan ngeri ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring pada Ahad lalu.

Sebaliknya pelumba berusia 26 tahun itu tetap bersemangat untuk ­meneruskan perlumbaan pada hujung minggu ini di litar sama walaupun masih belum pulih daripada kecederaan yang dialami.

Pelumba berasal dari Selangor itu mengakui pada satu ketika dia menyangkakan kakinya patah namun lega kerana laporan perubatan mengesahkan tiada tulang yang retak.

“Saya berasa baik, sangat bernasib baik kerana tidak ada patah di mana-mana bahagian badan. Kemalangan itu sangat ngeri. Apapun, saya hanya berasa sakit di bahagian kaki terutama di kaki kiri. Sekarang ini, saya menggunakan tongkat sebagai alat sokongan untuk saya berjalan.

“Saya akan cuba untuk pulih secepat mungkin dan lihat sama ada boleh menunggang pada minggu ini ataupun tidak,” kata Hafizh Syahrin yang dijadual mengharungi satu lagi perlumbaan di litar sama minggu ini di GP Styria.

Kemalangan tempoh hari berlaku selepas pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini terjatuh dengan jenteranya berada di tengah laluan sebelum Hafizh Syahrin yang tidak menyedari insiden itu gagal mengelak dan melanggar motosikal pelumba Italtrans Racing Team berkenaan.

Kedua-dua motosikal dilihat berkecai tatkala Hafizh Syahrin yang mewakili Openbank Aspar Team melambung tinggi di udara.

Kemalangan pada awal pusingan perlumbaan itu turut membabitkan beberapa pelumba lain iaitu Andi Farid Izdihar (IDEMITSU Honda Team Asia) dan Edgar Pons (Federal Oil Gresini Moto2) menyaksikan perlumbaan dikibarkan bendera merah dan disambung semula dengan dipendekkan kepada 13 pusingan.

KEMALANGAN NGERI, KENAPA HAFIZH HANYA ALAMI KECEDERAAN RINGAN?  

Melihat Hafizh Syahrin hanya mengalami kecederaan ringan di sebalik tragisnya kemalangan itu, adalah sesuatu yang menakjubkan.

Tatkala motor hancur berkecai, Hafizh Syahrin berada dalam keadaan sedar dan stabil, hanya mengalami lebam dan calar malah seperti yang pelumba itu sendiri beritahu, tiada apa yang patah atau retak, dan dia sudah dibenarkan pulang ke ‘motorhome’ di Litar Red Bull.

Bagaimana kecederaan serius berjaya dielakkan?

Dalam satu temubual disiarkan Nadi Arena pada Isnin, seorang lagi pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin berkata Hafizh Syahrin bernasib baik kerana dilindungi airbag suit ketika kemalangan itu berlaku.

Dipetik dari laporan Stadium Astro, penggunaan ‘airbag suit’ mula diwartakan sebagai perisai wajib bagi pelumba MotoGP pada 2018.

Nilainya mencecah puluhan ribu dan pernah dilabelkan sebagai tidak masuk akal, tetapi nampaknya kini mula dilihat sebagai pelaburan yang lebih daripada berbaloi kepada semua penggiat dan peminat sukan permotoran, .

Penggunaan ‘airbag’ pada pakaian pelumba motosikal sebenarnya sudah menjadi perbualan hangat sejak tujuh dekad lalu namun menurut sebuah saluran youtube motosikal antarabangsa ‘pattern’ pertama bagi ‘airbag jacket’ direkodkan ditemui di Hungary pada 1978.

Selepas melalui 20 tahun penyelidikan dan eksperimen – akhirnya ‘airbag vest’ yang pertama diperkenalkan pada 1998 agar ia menjadi sesuatu yang bermanfaat kepada semua pelumba.

KEMODENAN TEKNOLOGI SELAMATKAN HAFIZH SYAHRIN

‘Airbag vest’ ini beroperasi dengan ‘cable’ yang menyambungkan ‘vest’ dan motorsikal di mana ketika kemalangan berlaku, ‘cable’ ini akan bertindak sebagai ‘sensor’ yang memberi ‘signal’ bahawa pelumba tercampak dari jentera yang ditungganginya dan mengembangkan ‘airbag’ secara automatik untuk melindungi bahagian dada, bahu, belakang dan juga leher.

Walaupun peranan ‘airbag vest’ ini mampu mengurangkan risiko kecederaan, ia masih belum merangkumi keselamatan keseluruhan badan pelumba terutama di bahagian utama lain seperti lutut.

Seiring dengan penyelidikan dan eksperimen yang dilakukan keatas ‘airbag vest’, perkembangan ‘racing suit’ turut mengalami penambahbaikan, termasuk penggunaan material yang memudahkan pergerakan pelumba dan reka bentuk yang lebih menarik.

Teknologi akhirnya menggabungkan dua keutamaan ini, dengan saingan MotoGP memperkenalkan secara rasmi penggunaan ‘airbag suit’ pada 2007 – ciri paling menakjubkan, sudah pasti penggunaan sensor dan GPS dalam memastikan pakaian ini menyerap impak hentakan dan mengurangkan kesan kecederaan kepada pelumba.

Dan selepas dua tahun pemakaian ‘airbag suit’ diwajibkan ke atas para pelumba, Hafizh Syahrin menjadi antara pelumba bertuah dapat menikmati kemodenan teknologi ini – tatkala dia satu-satunya pelumba yang tidak sempat mengelak jentera Bastianini yang baru beberapa saat mengalami kemalangan.

Sumber utama : Stadium Astro

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.