Bagi Saya Pegang Team Ni Lebih Lama, Boleh? – Brad Maloney

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney berharap dapat membimbing pasukan itu untuk satu tempoh lebih lama tatkala kontraknya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan berakhir pada penghujung tahun ini.

Maloney membawa skuad muda negara layak ke Piala Asia B-23 selepas mengungguli pusingan kelayakan, dan pada ketika pusingan akhir akan berlangsung pada Jun tahun depan, persoalan mengenai masa depannya dibangkitkan.

Dia menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menilai dan membuat keputusan tetapi apa yang jelas masih banyak mahu dilakukan pengendali itu untuk memantapkan pasukan jika terus diberikan kepercayaan.

“Saya sentiasa katakan, selagi saya dapat meneruskan untuk bersama pasukan ini — saya mempunyai keyakinan yang luar biasa terhadap pasukan ini — sudah pasti saya mahu meneruskannya selama mungkin.

“Tetapi pada akhirnya, ia akan menjadi satu perkara yang akan ditentukan pihak pengurusan dan saya tidak tahu seandainya mereka akan mengambil pendekatan berbeza.

“Sudah pasti saya amat berbangga dengan pemain saya kerana mereka mempamerkan prestasi yang amat baik dan saya menikmati pekerjaan saya bersama pasukan ini,” katanya kepada Nadi Arena.

Jika terus mengemudi pasukan, Brad Maloney akan mempunyai lebih banyak pilihan pemain untuk disenaraikan beraksi di Uzbekistan antaranya Arif Aiman, Ramadhan Saifullah, Sharul Nazeem Zulpakar, Danial Asri, Wan Kuzri Wan Kamal dan Rahadiazli Rahalim.

Rata-rata mereka tidak dapat dibawa baru-baru ini kerana masalah kecederaan, dokumentasi dan juga isu pelepasan kelab.

“Kami mempunyai lebih daripada 50 nama untuk dipilih dan disenaraikan dalam kejohanan (di Uzbekistan) ini. Pintunya sentiasa terbuka buat kesemua pemain yang layak,”.

Dalam pusingan kelayakan yang berlangsung minggu lalu, Malaysia muncul juara Kumpulan J setelah menewaskan Laos dan Mongolia masing-masing dengan jaringan 1-0 sebelum terikat tanpa jaringan menentang Thailand.

Ini adalah kali kedua skuad negara layak ke pusingan akhir selepas edisi 2018, ketika itu dibimbing oleh Dato’ Ong Kim Swee manakala Brad Maloney pula bertindak sebagai pembantunya.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.