Tidak adil untuk menyisihkan Guilherme De Paula daripada skuad kebangsaan tanpa melihat sendiri sama ada dia bagus ataupun tidak, itu pendirian jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Jurulatih dari Korea Selatan itu membuat keputusan yang menimbulkan perdebatan ramai apabila menyenaraikan semula nama penyerang naturalisasi itu yang sebelum ini menjadi sasaran kritikan kerana tidak pernah ‘perform’ sepanjang diberi peluang oleh Tan Cheng Hoe untuk menyarung jersi kebangsaan.
Lebih membuatkan ramai tidak berpuas hati, Guilherme De Paula tidak mempunyai minit permainan musim ini apabila langsung tidak diturunkan oleh Johor Darul Takzim tetapi Kim Pan-gon menegaskan keputusan untuk mengekalkan atau menyisihkan mana-mana pemain (bukan sahaja De Paula) akan dibuat selepas beliau menilai sendiri prestasi mereka.
“Saya lebih berpuas hati kerana dapat melihat lebih banyak pemain kali ini dan kita mendapat sokongan yang diperlukan daripada semua pasukan. Saya tidak berfikir mengenai individu tetapi lebih kepada pasukan.
“Ini adalah panggilan yang kedua, jadi saya tidak mahu menyesal sekiranya tidak dapat melihat semua kekuatan yang kita ada. Sebab itulah saya mahu menilai semua pemain ini dan gunakan dua aksi persahabatan untuk melihat persembahan mereka dengan mata saya sendiri.
“Kita melihat hampir semua pemain secara langsung ataupun tidak langsung dan mungkin ada pemain yang kami tidak dapat lihat dalam liga tetapi saya percaya mereka berbakat. Sebab itulah kita panggil mereka untuk bersedia.
“Saya mahu mewujudkan suasana yang kompetitif supaya dapat melihat bagaimana reaksi dan profesionalisme pemain serta prestasi mereka. Ini perkara yang akan kita nilai nanti. Jadi, fahami dan terima keputusan ini,” ujar Kim Pan-gon ketika sidang media pengumuman senarai 29 nama yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya bermula 19 Mei ini.
Selain De Paula, seorang lagi penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha turut kembali disenaraikan bersama-sama Matthew Davies, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Junior Eldstal, Darren Lok dan Nazmi Faiz Mansor.
Penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi pula mendapat panggilan semula selepas sembilan tahun – dia pertama kali mewakili pasukan senior kebangsaan pada tahun 2013 pada usia 17 tahun apabila Datuk K.Rajagobal menurunkannya menggantikan Farizal Marlias ketika menentang Palestin malah mencuri tumpuan dengan menyelamatkan satu sepakan penalti.
Selepas itu Ahmad Syihan beraksi untuk skuad bawah B-21 dan B-23 namun tidak pernah mendapat peluang untuk bermain dengan skuad senior.