Baru-baru ini Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa beliau pernah membantu beberapa pasukan yang berdepan masalah kewangan, termasuklah Kelantan FC sebanyak dua kali.
Walaupun bantuan dihulurkan Tunku Ismail itu adalah ketika di bawah pengurusan lama, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman (Zamsaham) tetap berterima kasih atas keprihatinan ditunjukkan pemilik pasukan Johor Darul Takzim itu.
“Benar, saya dapat maklumat dari pengurusan lama memang TMJ pernah bantu dengan memberi dana kepada Kelantan FA. Banyak jumlahnya. Terima kasih kepada TMJ yang pernah bantu pasukan Kelantan FC sebelum pengurusan saya. Mungkin satu hari nanti saya juga perlukan bantuan, idea dan pengalaman TMJ juga dalam membangunkan infrastruktur bola dan stadium Kelantan FC,” kata Zamsaham.
Sebagai rekod, Kelantan mendominasi saingan bolasepak tanah air selepas Tan Sri Annuar Musa mengambil alih pengurusan pada 2007 dengan kemuncaknya adalah memenangi treble Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2012.
Namun pasca kejayaan bersejarah tersebut, skuad the red warriors mula dibebani masalah tunggakan gaji dan ia menjadi serius pada 2014 sekaligus menyaksikan bermulanya era kejatuhan mereka.
Sejak itu juga, kemelut tunggakan gaji pasukan itu sudah menjadi seperti acara tahunan, dan pada ketika tiada jalan penyelesaian ditemui, Tan Sri Annuar Musa juga seperti semakin kurang berminat dengan bolasepak, seterusnya mengambil keputusan untuk berundur.
Kemudiannya kepimpinan pasukan bertukar tangan, buat kali pertama ditadbir oleh seorang wanita – Bibi Ramjani Ilias Khan bermula September 2017.
Walaupun Bibi Ramjani mendedahkan bahawa beliau telah menghabiskan kira-kira RM6 juta untuk menyelesaikan tunggakan gaji ditinggalkan legasi Annuar Musa, pada hakikatnya masalah tersebut bertambah parah kerana ramai pemain termasuk import ditamatkan kontrak sewenang-wenang menyebabkan Kelantan FC perlu membayar pampasan, belum lagi mengambil kira pemain yang tetap perlu dibayar gaji penuh walaupun tidak bermain.
Apabila Bibi Ramjani berundur pada 2019, dia digantikan pula oleh Wan Abdul Rahim Wan Abdullah namun masalah tidak juga selesai sehinggalah Zamsaham kemudiannya tampil menjadi penyelamat apabila membeli Kelantan FC dengan nilai RM6.8 juta dan melunaskan semua hutang dan tunggakan gaji.