“Banyak Pasukan Saya Tolong Bayar Gaji, Cuma Tak Pernah Bagitahu Orang” – Tunku Ismail

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kemelut tunggakan gaji pasukan Perak FC dijangka ternoktah selepas Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan beliau telah menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada pengurusan pasukan itu.

Ditanya oleh pemberita berkenaan masalah tunggakan gaji Perak FC selepas meninjau keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil, memandangkan beliau adalah Penaung Persatuan Pemain Profesional Malaysia, ini jawapan Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan Johor Darul Takzim.

“Baru-baru ini saya ada bantu Perak FC. Tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan. Saya tak boleh cakap berapa (jumlah).

“Tapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC dan saya harap masalah itu (tunggakan gaji) boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat. Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong.

“Cuma saya tak bagi tahu media sahaja. Tapi oleh kerana sahabat kita (wartawan) sudah tanya. Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Penang sekali serta Melaka.

“Isu gaji, PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu. Kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan,” ujar Tunku Ismail.

Sementara itu, mengenai proses penukaran rumput padang di Stadium Nasional, Tunku Ismail berkata ia dijangka bermula pada Januari tahun depan dengan membabitkan belanja antara RM1.2 juta hingga RM1.4 juta dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

“Kita perlu ada padang yang baru, yang lebih berkualiti. Kalau pada masa akan datang kita nak menjadi tuan rumah apa-apa kejohanan, boleh dikatakan agak memalukan juga dengan keadaan yang ada.

“Kalau kita tengok negara jiran kita, semua sudah tukar kepada rumput yang lebih berkualiti. Rumput ini adalah pelaburan jangkan panjang untuk stadium dan salah satu reputasi stadium, apatah lagi ia Stadium Nasional.

“Saya sudah memberi dana untuk padang, tapi lepas ini Insya-Allah kalau ada rezeki saya nak tambah sikit membantu dalam peralatan untuk menyelenggara padang di sini,” tambah beliau lagi.

Foto Ehsan : Bernama

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.