Aidil Shahrin jurulatih KDAFC

Baru Perlawanan Pertama, Aidil Sharin Anggap Peluang Masih Terbuka Luas

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak tidak melihat kekalahan di tangan Bali United sebagai penamat perjuangan mereka dalam saingan Piala AFC 2022.

Menurutnya, kekalahan 0-2 dalam aksi pertama Kumpulan G yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Gianyar, Bali pada Jumaat lalu akan dijadikan tonik kebangkitan dalam baki dua perlawanan selepas ini menentang Kaya Iloilo FC dan Visakha FC.

Aidil Sharin tegaskan pasukannya tidak akan mudah ‘mengibar bendera putih’ dan melaungkan betapa mereka akan turun dengan aksi lebih bertenaga untuk mara ke pusingan berikutnya.

“Apabila kamu tewas pada aksi pertama kamu perlu bangkit pada aksi berikutnya dan kita perlu fokus kerana Kaya FC juga tewas pada aksi pertama mereka.

“Saya rasa peluang masih terbuka, kita juga perlu melihat saingan di kumpulan lain yang mana ada yang mendapat keputusan seri.

“Jadi peluang masih lagi terbuka dan pemain perlu percaya untuk bangkit pada aksi seterusnya,” ujar Aidil Sharin yang berjaya meraih slot ke Piala AFC musim ini selepas membawa Kedah muncul naib juara Liga Super musim lalu.

Bali United yang mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah berjaya meraih dua gol hasil jaringan sendiri penyerang Kedah, Ronald Ngah di babak pertama sebelum Muhammad Rahmat menambah gol di 10 minit terakhir babak kedua.

Tambah pengendali dari Singapura itu lagi, dua gol yang diraih lawan adalah hasil kesilapan pemain yang tidak fokus ketika bertahan.

“Gol pada penghujung separuh masa pertama dan gol kedua pada penghujung separuh masa kedua juga disebabkan kita hilang tumpuan tetapi kita harap pemain belajar dari perlawanan ini,” tambahnya.

Kekalahan itu meletakkan Kedah di tangga tercorot kumpulan, sementara Bali United menghuni kedudukan teratas.

Kelab Kemboja, Visakha FC turut mengumpul tiga mata selepas menewaskan Kaya Iloilo 2-1 pada aksi pertama untuk berada di kedudukan kedua.

Selepas aksi dengan Kaya Iloilo Isnin ini, Kedah akan menutup tirai kumpulan bertemu Visakha FC pada Khamis nanti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.