Batalkan Saingan Piala FA Antara Solusi Difikirkan MFL – Stuart Ramalingam

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Saingan Piala FA mungkin menjadi korban buat musim ketiga berturut-turut, apabila Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL) Stuart Ramalingam memberitahu bahawa ia adalah antara solusi yang difikirkan jika penularan Covid-19 dalam kalangan pasukan bertanding menjadi semakin tidak terkawal.

Saingan Liga Malaysia yang membuka tirainya pada minggu ini sedikit terganggu apabila dua perlawanan Liga Premier dan satu perlawanan Liga Super membabitkan Sri Pahang menentang Terengganu FC terpaksa ditunda ke tarikh lain kerana ramai pemain serta pegawai pasukan yang terbabit dijangkiti Covid-19.

Malah ia turut menyebabkan beberapa perlawanan pusingan pertama Piala FA terpaksa ditunda ke tarikh lain. Justeru ketika bercakap kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Stuart Ramalingam berkata :

“Jika minggu pertama ini menjadi (gambaran) rentak kepada musim 2022, MFL sememangnya ada percaturan pelan B dan pelan C juga demi memastikan ada lebih banyak tarikh penimbal (buffer date).

“Antara langkah awal yang boleh diambil adalah, jika kami terpaksa membatalkan mana-mana pertandingan, maka saingan Piala FA akan digadaikan demi kelangsungan saingan Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia dan pasukan kebangsaan.

“Keputusan itu perlu ditentukan ahli lembaga pengarah dan itulah yang boleh kami lakukan seandainya rentak pada minggu pertama ini berlarutan sehingga minggu ketiga atau keempat,” katanya.

Sebagai rekod, saingan Piala FA yang menawarkan tiket ke Piala AFC kepada pasukan yang muncul juara telahpun dibatalkan selama dua tahun berturut-turut pada tahun 2020 dan 2021. Ini menyaksikan slot ke Piala AFC diberikan kepada juara Piala Malaysia.

Dalam pada itu, Stuart melahirkan rasa kesal dengan insiden pergaduhan sesama penyokong yang telah berlaku di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Ujarnya, perbuatan tidak bermoral itu telah memberikan kesan buruk kepada industri Liga Malaysia yang sedang berusaha keras untuk mendapatkan kelonggaran daripada pihak kerajaan dalam pandemik COVID-19 ini.

“Pertama, saya mewakili MFL ingin merakamkan ucapan simpati kepada mangsa-mangsa dalam insiden pergaduhan selepas aksi Kuala Lumpur City FC dan Selangor FC yang saya difahamkan ada di antara mereka mengalami kecederaan akibat mercun dan lain-lain di mana sudah jelas ini satu perbuatan yang tidak bermoral.

“Stadium sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk beriadah, bersantai dan menikmati sukan bola sepak, bukannya menjadi satu pusat pergaduhan sesama sendiri.

“Kita tidak mahu disebabkan perbuatan kelompok kecil ini, golongan lain menanggung akibat sekali gus menyukarkan usaha semua pihak di dalam industri bola sepak untuk mendapatkan kelonggaran khusus daripada pihak kerajaan. Jadi MFL mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng bola sepak ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.