Beberapa jam selepas selamatkan maskot, karier Ozil di Arsenal berakhir

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Peluang Mesut Ozil untuk beraksi dengan Arsenal bagi baki saingan musim ini nampaknya sudah tertutup, apabila namanya disisihkan daripada skuad 25 pemain yang didaftarkan Mikel Arteta untuk beraksi di Europa League 2020/2021.

Perkhabaran itu hadir hanya beberapa jam selepas pemain Jerman itu menawarkan diri mahu membayar gaji Jerry Quy, individu di sebalik maskot Arsenal (Gunnersaurus) yang dipecat selepas 27 tahun berkhidmat dengan kelab utara London itu.

Dengan Mikel Arteta tidak bercadang untuk memberi peluang kepada perancang kreatif itu bermain di dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Europa League dilihat sebagai satu-satunya peluang tipis yang ada untuk penyokong setia Arsenal menyaksikan kelibat pemain itu.

Tetapi tatkala Arsenal hanya boleh mendaftarkan 17 pemain luar Britain daripada 19 pemain yang mereka ada, Mikel Arteta perlu menyingkirkan dua pemain, dan ianya nama Ozil diketepikan bersama-sama pemain pertahanan Sokratis Papasthopoulos.

Bagi penyokong Arsenal, mungkin ia bukan kejutan untuk melihat nama pemain yang menerima gaji tertinggi di Emirates itu disisihkan.

Di sebalik menerima gaji £350,000 seminggu, Mesut Ozil tidak membuat satu pun penampilan sejak Liga Perdana Inggeris bersambung semula pada bulan Jun lalu, dan dia tidak diyakini akan dapat memenangi semula tempatnya di dalam skuad.

Bayangkan dalam saingan Piala Carabao sekalipun, Ozil tidak diturunkan walaupun diketahui Arsenal lazimnya menurunkan pemain muda dan pemain yang kurang mendapat minit bermain untuk beraksi di pertandingan itu.

Aksi terakhirnya dalam jersi the gunners adalah pada bulan Mac lalu ketika Arsenal menewaskan West Ham United – perlawanan terakhir sebelum EPL ditangguhkan kerana wabak coronavirus.

PUNCA DISISIHKAN? 

Beberapa isu dikaitkan termasuklah mengenai atitud Mesut Ozil yang dikatakan besar kepala, tidak komited dan pemalas, selain kelantangan membidas pengurusan secara terbuka dalam beberapa isu terutama dalam soal pemotongan gaji.

Baca : Kenyataan padu Arteta tutup mulut Mesut Ozil

Baca : Mesut Ozil bukan pemain contoh, atitud dan komitmen ke laut

Tetapi perkara lebih besar dikaitkan sebagai punca ‘sakit hati’ board Arsenal terhadapnya adalah selepas dia mengutuk penindasan etnik islam uighur di China sehingga menimbulkan kemarahan jutaan penyokong the gunners di sana pada tahun lalu, malah ada yang membakar jersi pemain itu, selain beberapa perlawanan membabitkan Arsenal dibatalkan oleh stesen televisyen di negara itu.

Ini mendorong Arsenal untuk mengeluarkan permohonan maaf kepada penyokong di China dan menyatakan bahawa kenyataan Ozil tidak menggambarkan pendirian kelab, tetapi Ozil membidas pengurusan Arsenal kerana tidak mempertahankannya.

Semua isu ini dikatakan antara punca Mesut Ozil disisihkan dan dengan berbaki kira-kira 10 hari untuk Mikel Arteta mendaftarkan pula skuad lengkap bagi saingan EPL, jelas sekali sudah tiada harapan untuk namanya berada dalam senarai.

Ini bermakna karier Ozil di Arsenal bolehlah dikatakan sudah berakhir meskipun dia masih mempunyai kontrak selama lapan bulan sehingga Jun 2021.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.