“Bedil Ukraine bolehlah, jangan terciduk lawan Denmark sudah” – Mourinho

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

England menamatkan penantian 25 tahun untuk berada di kelompok empat terbaik Kejohanan Eropah (Euro) setelah membedil Ukraine 4-0 dalam aksi suku akhir Euro 2020, menerusi dua jaringan Harry Kane serta satu jaringan Harry Maguire dan Henderson.

Mereka kini berpeluang melakar sejarah baru mara ke pentas final buat pertama kali, jika berjaya mengetepikan Denmark dalam pertembungan separuh akhir pada Khamis nanti.

Berdasarkan prestasi semasa menang empat daripada lima perlawanan, belum bolos malah jentera serangan juga semakin tajam, England kendalian Gareth Southgate dilihat sebagai pilihan hangat dan diramal boleh menepati ekspetasi tersebut.

Namun bekas pengurus Chelsea dan Tottenham Hotspurs, Jose Mourinho berkata England nampak hebat kerana berdepan Ukraine yang lemah, justeru Denmark menurutnya akan menjadi ujian sebenar mereka.

“Denmark sangat mantap. Mereka juga sudah menemui corak permainan baru berbanding aksi permulaan. Mereka memulakan aksi ketika mempunyai Christian Eriksen dan menggunakan empat pertahanan.

Berita berkaitan : “Nadi Christian Eriksen terhenti, ia pengalaman mengerikan”

“Sekarang mereka menggunakan tiga pertahanan, ia sebuah pasukan yang padu, pemain yang bagus beraksi di liga terbaik dan kaya dengan pengalaman.

“Mereka sangat positif walaupun apa yang berlaku terhadap Christian dan lihat mereka begitu emosional. Saya rasa sudah tentu akan memberi kesukaran buat England walaupun beraksi baik dan bermain di tempat sendiri,” kata Jose Mourinho.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan tiada siapa yang menduga Denmark bimbingan Kasper Hjulmand akan meneruskan langkahan sejauh ini di Euro 2020 setelah permulaan yang goyah.

Mereka kehilangan pemain tonggak Christian Eriksen seawal perlawanan pertama menentang Finland setelah pemain itu secara tiba-tiba rebah, dipercayai kerana cardiac arrest. 

Tewas kepada Finland dan Belgium dalam dua aksi pertama Kumpulan B, Denmark berdepan kemungkinan tersingkir awal namun keajaiban memihak kepada mereka apabila menang besar 4-1 ke atas Russia dalam perlawanan terakhir dan menyambar kedudukan naib juara.

Di pusingan kedua, mereka terus mengganas dengan membaham Wales 4-0 dan kemudiannya menewaskan Republik Czech 2-1 di suku akhir.

Lebih membanggakan, Denmark telah meledak 11 gol dalam lima perlawanan, jumlah kedua tertinggi dalam Euro 2020 selepas Sepanyol (12 gol).

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.