Bekas bintang B19 Malaysia, Shivan Pillay sasar tembusi skuad utama Red Giants

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Beraksi dengan skuad utama, lebih-lebih lagi antara pasukan yang dianggap gergasi bolasepak tanah air menjadi impian mana-mana pemain.

Impian sama turut disimpan bintang muda bolasepak tanah air, Shivan Pillay Asokan, yang mahu menembusi skuad utama pasukan Liga Super Selangor dan memenangi tempat dalam skuad Harimau Malaya satu hari nanti.

Bekas pemain skuad B19 kebangsaan ini ketika ini bermain dengan pasukan Selangor II dalam Liga Premier dan merupakan salah seorang tonggak utama pasukan kendalian Michael Feichtenbeiner itu.

Shivan Pillay telah tampil dengan prestasi meyakinkan dan cukup bertenaga setelah diberi kepercayaan Feichtenbeiner untuk beraksi dalam kesebelasan utama dalam empat perlawanan pertama musim ini, dan dia mahu terus meningkatkan prestasi untuk memikat pula B.Sathianathan.

Dengan saingan Liga Malaysia akan kembali bersambung pada 26 Ogos depan, Shivan Pillay mahu memanfaatkan sebaik mungkin peluang dalam baki tujuh perlawanan.

“Selangor II menyediakan satu peluang yang cukup baik untuk pemain muda seperti saya untuk membuktikan sesuatu.

“Jadi selain berharap sangat dapat membantu Selangor II memberi cabaran sengit kepada pasukan lain dalam Liga Premier, saya ada sasaran peribadi mahu dicapai.

“Saya memang teringin sangat nak beraksi dalam pasukan Selangor tetapi saya tahu untuk menembusi ke skuad utama memang susah, jadi saya kena bekerja keras dalam 7 baki perlawanan ini.

“Bukan itu sahaja, saya juga ingin menyarung jersi skuad senior kebangsaan suatu hari nanti dan ia tidak mustahil sekiranya saya mampu menyerlah dalam saingan liga pada musim ini. Saya percaya jika saya laksanakan tugas dengan baik, jurulatih akan nampak potensi saya,” jelasnya.

Sementara itu, Shivan Pillay yang merupakan anggota skuad juara Kejohanan AFF B-19 2018 menyifatkan persiapan untuk menyambung semula aksi liga selepas lebih lima bulan berada dalam landasan tepat selepas mengharungi empat perlawanan persahabatan.

“Memang sekarang ini kita semua sudah dapat rasa perlawanan yang kompetitif atas padang selepas empat aksi persahabatan.

“Walaupun tewas dalam dua perlawanan pertama (persahabatan), tetapi kami semakin berjaya ubah permainan dengan lebih baik dan belajar daripada kesilapan sebelum ini, jadi ia benar-benar membantu prestasi semua pemain.

“Jadi, saya boleh katakan kami semua sudah bersedia untuk memulakan aksi dan mengharapkan baki 7 perlawanan itu akan memihak kepada Selangor 2,” tambahnya.

Selangor II akan turun menentang Kuching FA pada 26 Ogos.

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.