Bekas Pemain Akur JDT Dibelasah, Berpendapat Mereka Perlukan Pemain Lebih Baik

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bekas pemain Johor, Fadzli Ahmad mengakui terkejut dengan kekalahan besar dialami Johor Darul Takzim kepada Urawa Red Diamonds pada Jumaat lalu, yang menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Asia 2022.

Skuad Hector Bidoglio kecundang 5-0 kepada wakil Jepun itu di Stadium Saitama dalam aksi pusingan kedua, namun di sebalik kekalahan itu, Fadzli tetap berbangga dengan pencapaian JDT.

“Satu pencapaian yang baik bukan saja untuk Johor tapi seluruh peminat bola sepak tanah air sebab selama ini tiada pasukan dalam Malaysia layak ke pusingan 16 terbaik, satu-satunya pasukan adalah JDT.

“Saya (sebenarnya) mengharapkan JDT boleh bagi saingan sengit dan terperanjat bila tewas dengan jumlah jaringan besar tetapi apabila di peringkat kalah mati kita tahu semua adalah pasukan yang kuat lagi-lagi dah nak masuk peringkat suku akhir,” ujarnya kepada Bernama.

Sebagai rekod, sejak mula bermain di ACL empat tahun lalu, ini kali pertama skuad harimau selatan mara melepasi peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, Fadzli yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali bersama Johor pada 1985 dan 1991 berpendapat JDT perlu diperkuatkan pemain dengan standard lebih baik bagi menyaingi kehebatan pasukan gergasi Asia pada musim seterusnya.

“Kalau kita lihat dalam pasukan JDT sekarang semuanya pemain dah lama bermain, mungkin perlu cari pemain baharu yang mempunyai prestasi lagi baik, manakala barisan pemain muda kena gilap lagi, mungkin JDT akan menjadi lebih baik selepas itu,” tambahnya.

Dengan berakhir cabaran di ACL 2022, fokus JDT selepas ini kembali terarah kepada saingan domestik di mana mereka sedang menerajui Liga Super dengan kelebihan tiga mata ke atas Sabah, selain sudahpun mengesahkan tempat di perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung pada 10 September nanti.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.