Bekas pengurus Selangor nasihatkan Zamsaham supaya fokus kepada perkara lebih penting

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Kritikan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman terhadap kedudukan skuad kebangsaan dalam ranking bolasepak dunia, terus mendapat perhatian ‘orang kuat’ dalam industri, kali ini giliran bekas pengurus pasukan Selangor, Zakaria Rahim pula menyuarakan pendapat.

Menurut Zakaria, beliau percaya maklumat diperoleh Norizam atau Zamsaham mengenai kedudukan terbaik dan terburuk Malaysia dalam ranking dunia, adalah berlandaskan kepada sumber wikipedia semata-mata dan ia tidak boleh dijadikan rujukan, sebaliknya perlu buat kajian menyeluruh.

“Dia (Zamsaham) hairan bagaimana Malaysia yang pernah duduk di kelompok 100 terbaik dunia boleh kini ada jauh dibawah. Tapi saudara Zamsaham hanya baca Wikipedia, it’s a one way straight information. Dia lupa nak buat cross check dalam study dia.

“Pada ketika Malaysia berada di ranking 75 waktu itu, Thailand di ranking ke-66 manakala Singapura yang bersaing di Piala Malaysia ketika itu berada di tangga ke-73, dua tangga lebih tinggi dari Malaysia. Indonesia juga berada dalam 100 terbaik dunia ketika itu di tangga ke-98.

“Manakala ketika itu, hanya 167 negara sahaja yang berada dalam sistem ranking FIFA yang hanya digunapakai pada tahun 1992. Palestin pun tak ada dalam senarai FIFA.

“Tetapi pada hari ini, ranking FIFA menyenaraikan sebanyak 210 buah negara iaitu bertambah 43 negara lagi sejak 1993. Sementara Malaysia di tangga ke-153 hari ini, saudara Zam tak tahu Singapura kini berada di tangga ke-158. Manakala Indonesia pula yang berada dalam top 100 pada 1993, hari ini di tangga ke-173.

“Thailand pula yang baru sahaja kalah dengan Malaysia pada 2019, kini di tangga 111. Ya, Thailand jauh di hadapan tetapi tidak lagi dalam top 100. Kedudukan ranking Thailand yang paling baik ialah pada 1998 iaitu di ranking ke-45.

“Jika nak guna perbandingan cara saudara Zamsaham, bolasepak Thailand hari ini jatuh 66 anak tangga. Malaysia pula jatuh 80 anak tangga hari ini. Singapura pula jatuh 85 anak tangga sejak 1993,” ujarnya.

Tambah Zakaria lagi, “Saudara Zam perlu faham sistem ranking FIFA mula diperkenalkan pada tahun 1992. Jika FIFA ada ranking sejak 70-an, rasanya Malaysia berada di top 50 dunia kalaupun bukan di top 20. Berjaya layak ke Olimpik pada 1972 membuktikan pada tahun itu, Malaysia secara tak rasmi berada di top 24 bolasepak dunia.

“Tanpa pengetahuan Zam dan semua, di hujung Olimpik Munich, sebenarnya ranking semasa Malaysia adalah 10 terbaik dengan Poland selaku pemenang pingat emas menjadi pasukan terbaik dunia secara tidak rasmi. Olimpik ketika itu tak sama dengan Olimpik sekarang dimana pasukan sama bermain di Pra Piala Dunia juga bermain di Pra Olimpik dan layak ke Olympik. Olimpik sekarang hanya dimaiankan oleh pasukan bawah 23.

“Ini bermakna, secara tak rasmi, ranking dunia Malaysia yang terbaik sebenarnya adalah pada 10 September 1972 di ranking ke-10. Namun, tak boleh buat perbandingan begitu. Memang semua tak suka kedudukan ranking Malaysia hari ini, tetapi hakikatnya bolasepak hari ini jauh berbeza dengan zaman 1972 mahupun 1993.

“Sekarang adalah era professional di mana pasukan yang mempunyai pemain paling baik yang mendapat pendedahan sistem latihan yang terbaik dan peluang bersaing bersama pemain yang jauh lebih baik akan menjadi lebih kuat. Ditambah dengan kemampuan FAM menggaji jurulatih yang benar-benar mampu membawa pengalaman latihan terbaik.”

Beliau juga beranggapan Zamsaham bernasib baik tidak dikenakan sebarang tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia atas kritikannya itu, sambil mendedahkan dia pernah didenda RM30,000 ketika zamannya dulu kerana mengkritik FAM berhubung isu kecergasan pemain.

Justeru, Zakaria yang merupakan pengurus Selangor pada tahun 2008, berkata Zamsaham tidak sepatutnya terlibat di dalam pertelingkahan seperti ini sebaliknya fokus kepada perkara lain yang lebih penting terutama bagaimana untuk memenangi hati dan merapatkan pasukan dengan penyokong.

“Bila stadium penuh, akan menarik banyak sponsor. Bila sponsor banyak, boleh lah ambil pemain yang lebih baik lagi terutama pemain import. Masa yang sama, bentuk akar umbi sendiri. Jangan curi hasil pisang orang lain kecuali memang pisang itu ada di pasar untuk dijual.

‘Jangan menggatal curi pisang orang lain, mengaku pisang sendiri’

“Kalau tak ada jualan pisang, jangan menggatal pergi curi pisang tu di kebun. Ringkasnya, bina lah pemain sendiri. Cari anak-anak remaja Kelantan atau Terengganu yang berbakat. Bentuk mereka dan labur lah duit keatas pisang muda anda sendiri. Tanam pisang sendiri. Letak sasaran satu utama iaitu ketika nanti, 80% pemain Kelantan adalah anak Kelantan.

“Bakinya adalah pemain import terbaik dan pemain tempatan yang mampu membawa corak permainan Kelantan. Juga sasarkan sekurang-kurangnya 5-6 orang pemain kebangsaan adalah dari pasukan Kelantan.

“Jika benar saudara Zam simpati dengan nasib pasukan Harimau Malaya, cara terbaik untuk berbakti kepada negara melalui bolasepak ialah mencari bakat-bakat dari kalangan anak Kelantan dan hantar mereka berlatih di akademi luar negara seperti di Barcelona, Ajax atau di Jepun dan Korea.

“Dari akademi, pastikan mereka mendapat tempat dalam pasukan-pasukan junior kelab terkemuka di sana dan akhirnya dapat sign kontrak dengan kelab sana.

“Hasilnya, mereka akan mewakili negara dan pasukan negara semakin kuat. Maka, tercapailah hasrat saudara Zam melihat pasukan negara kembali ke top 100 FIFA.

“Lagi sekali, jangan curi anak orang lain dan hantar ke luar negara kemudian mendabik itu usaha anda. Buat anak sendiri. Kelantan ada ratusan ribu anak-anak remaja yang berminat untuk kembangkan bakat. Panggil bekas-bekas pemain Kelantan seperti Hashim Mustapha, Zami Md Noor, Zamri Md Noor atau Mustapha Kamal bantu cari bakat baru.

“Saudara Zamsaham, jadilah ketua yang baik, bukannya menjadi seorang boss. Ketua yang baik akan melahirkan pekerja yang baik dan seorang lagi ketua, manakala boss pula hanya pandai memberi arahan kepada yang lain dan mahu mereka mengikut sahaja apa yang dikatakannya,” ujarnya.

Foto ehsan : NSTP

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.