Belum masa fikir pasal kena pecat, lagipun pasukan tunjuk peningkatan

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Tiga kekalahan dalam tujuh perlawanan dan semakin tergelincir dalam kedudukan Liga Super 2021, belum membuatkan pengendali Selangor FC Karsten Neitzel bimbang dengan kedudukannya.

Selepas tewas kepada Terengganu FC dan Penang FC, terbaru Selangor FC tewas kepada Kedah Darul Aman FC menerusi dua jaringan lewat permainan.

Sebelum ini pengendali Sri Pahang Thomas Dooley direhatkan hanya selepas dua perlawanan, manakala Kurniawan Dwi Yulianto (Sabah FC) dan Frank Bernhardt (Uitm FC) telah diberi amaran ekoran prestasi buruk pasukan masing-masing.

Dengan Selangor FC dilabel sebagai salah satu pasukan yang boleh memberi cabaran serius dalam saingan liga kali ini, prestasi ditunjukkan mereka ketika ini dilihat tidak memberi bayangan sedemikian malah jika berterusan dengan aksi tidak konsisten seperti ini, nak mencabar ‘top four’ pun mungkin sukar buat Red Giants.

Justeru ini menimbulkan persoalan besar adakah Karsten Neitzel orang yang tepat untuk terus membimbing pasukan itu, atau baton bakal diserahkan kepada orang lain.

Ketika diajukan soalan berkenaan, pengendali dari Jerman itu berkata, “Kedudukan saya? Saya tak tahu, jangan tanya saya.”

Pada perlawanan itu, Selangor mendahului di separuh masa pertama menerusi Oliver Buff namun Kedah bangkit menterbalikkan keputusan menerusi penalti Kpah Sherman dan jaringan Kipre Tchetche lima minit sebelum tamat perlawanan.

Neitzel menganggap kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol menjadi antara faktor mereka tewas.

“Inilah bola sepak, kami sepatutnya boleh menjaringkan lima, enam gol pada babak pertama dan pada babak kedua kami memiliki banyak peluang menjaringkan gol. Pasukan beraksi dengan sangat baik tapi akhirnya yang paling penting adalah keputusan dan kami kalah.

“Kami sangat kecewa. Semua pemain melakukan tugas dengan baik termasuk pemain muda. Namun, kami tewas dan kami perlu membuat analisis apa yang berlaku di atas padang.

“Sudah pasti kami perlu meningkatkan sesuatu, tapi kami juga perlu kekalkan beberapa perkara seperti cara permainan hari ini untuk perlawanan akan datang,” katanya yang memuji penampilan pemain muda seperti Danial Asri, Aliff Haiqal, Shahrul Nazeem dan pemain import muda, Jordan Ayimbila yang diturunkan dalam kesebelasan utama.

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.