Bengang tidak dipilih sebagai kapten, Salah kecewa dan tidak gembira di Liverpool

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Bengang kerana tidak dipilih sebagai kapten pasukan ketika perlawanan Liga Juara Eropah menentang Midtjylland menjadi salah satu sebab penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah tidak gembira di Liverpool.

Perkara itu didedahkan bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Mesir, Mohamed Aboutrika yang tidak menolak kemungkinan ia memberi bayangan awal pemain itu sedang dipertimbangkan untuk dijual Liverpool.

“Saya menghubungi Salah mengenai situasinya di Liverpool dan dia kecewa, namun ia tidak pernah menjejaskan prestasinya di atas padang.

“Saya tahu Salah tidak gembira di Liverpool, dia memberitahu saya sebab dia tidak gembira dan ia rahsia yang saya tidak boleh dedahkan kepada umum. Salah satu sebabnya adalah Salah berang kerana dia tidak dipilih sebagai kapten ketika menentang Midtjylland,” kata Aboutrika kepada beIN SPORTS.

Pada perlawanan yang berkesudahan 1-1 itu, Jurgen Klopp memutuskan untuk memberikan lilitan kapten kepada Trent Alexander Arnold.

Mohamed Salah baru-baru ini dalam satu temuramah bersama AS tidak menafikan keinginannya untuk bermain di Real Madrid atau Barcelona satu hari nanti.

Tambah Aboutrika lagi, “Jika Salah adalah pemain di Real Madrid atau Barcelona dan beraksi di tahap sama seperti di Liverpool, dia pastinya sudah memenangi anugerah Ballon d’Or dan adalah perkara biasa bagi akhbar Sepanyol bertanya Salah mengenai Real Madrid dan Barcelona.

“Pada pendapat saya, Liverpool sedang mempertimbangkan untuk menjual Salah atas faktor ekonomi. Saya tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Salah. Dia adalah rakan saya dan dia lebih tahu apa yang terbaik untuknya.”

Salah mengharungi perjalanan karier yang cukup hebat sejak menyertai Liverpool pada 2017 di mana dia telah menjaringkan lebih daripada 100 gol dan baru-baru ini mengatasi rekod Steven Gerrard sebagai penjaring terbanyak pasukan itu di Liga Juara Eropah.

Selain itu, dia juga muncul pemenang kasut emas Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut pada 2017/18 dan 2018/19.

Dia membantu Liverpool memenangi gelaran EPL buat pertama kali musim lalu, selain turut menjulang Liga Juara Eropah, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.

 

 

 

 

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.