Saturday, July 24, 2021
HomeBola SepakBenjamin Mora akui mental pemain 'koyak' selepas gol pertama

Benjamin Mora akui mental pemain ‘koyak’ selepas gol pertama

Pengendali Johor Darul Takzim, Benjamin Mora akur pasukannya gagal untuk melepasi halangan peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia 2021 buat musim ketiga berturut-turut setelah kecundang 0-2 di tangan Pohang Steelers pada Khamis.

Begitupun dia mengakui kekalahan ketiga daripada empat perlawanan itu sepatutnya boleh dielakkan jika pemain-pemain tidak hilang fokus selepas lawan menjaringkan gol pertama.

“Apabila lawan menjaringkan gol, segalanya berubah terutama emosi dan mental pemain seolah-olah hilang untuk bersaing dalam perlawanan itu apabila mereka bagaikan hilang semangat dan corak permainan juga tidak tersusun.

“Kami cuba beri tentangan dan berusaha untuk bangkit namun tidak berhasil tatkala menentang Pohang yang juga pasukan hebat dan mereka beraksi dengan menyusun dan mengatur taktikal dengan baik.

“Apapun kami sudah beri yang terbaik dalam perlawanan itu dan jika dapat meraih mata sudah tentu akan melonjakan lagi semangat pemain seperti kami lakukan ke atas Ratchaburi FC tapi agak sukar untuk tewaskan Pohang Steelers,” katanya selepas perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Rajamangala itu, JDT berjaya mengimbangi permainan untuk tempoh 30 minit pertama malah berjaya mencemaskan pintu gol lawan menerusi sepakan percuma Safawi Rasid yang terkena tiang pada minit ke-16.

Bagaimanapun dua gol pantas Pohang Steelers bimbingan Kim Gi Dong menerusi Lee Seung Mo pada minit ke-33 dan Kang Sang Woo empat minit kemudian meranapkan impian Harimau Selatan untuk bangkit membalas dendam kekalahan 1-4 pada aksi pertama minggu lalu.

Benjamin Mora juga menegaskan aksi keras dan agresif Pohang Steelers selain tindakan pasukan itu memperlahankan permainan turut mempengaruhi corak permainan JDT.

Dengan baki dua perlawanan, JDT menduduki tangga ketiga Kumpulan G dengan tiga mata. Mereka akan berdepan kelab Jepun Nagoya Grampus pada Ahad dan melengkapkan jadual perlawanan menentang Ratchaburi pada Rabu.

Nagoya Grampus menerajui carta dengan rekod bersih empat kemenangan dari empat perlawanan manakala Pohang Steelers pula di tangga kedua dengan sembilan mata.

Juara kumpulan dan tiga naib juara terbaik peringkat kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan berikutnya.

RELATED ARTICLES
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.