Benjamin Mora bersimpati dengan nasib Perak FC

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram

Johor Darul Takzim (JDT) membelasah Perak FC tanpa belas kasihan 5-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung pada Sabtu, sekaligus menambah tekanan ke atas pasukan itu yang terperosok di tangga kedua tercorot.

Hatrik jaringan Bergson Da Silva (gambar) dan dua jaringan Gonzalo Cabrera menghadiahkan kekalahan besar kedua dalam tempoh seminggu kepada skuad kendalian Chong Yee Fatt, yang tewas kepada Terengganu FC dengan jumlah jaringan sama pada 24 Julai lalu.

Berita berkaitan : JDT tidak tunjuk belas kasihan, lakar kemenangan terbesar musim ini

Ia juga merupakan kemenangan kelima berturut-turut skuad harimau selatan, serta kemenangan terbesar mereka bagi musim 2021 – kemenangan terbesar sebelum ini adalah 4-0 ke atas Uitm FC.

Sambil mengakui kemenangan yang menjadi sasaran dan bukannya jumlah jaringan, Benjamin Mora turut menyatakan rasa simpati dengan nasib Perak FC.

“Saya gembira dengan tiga mata, paling penting adalah kita menang perlawanan ini. Perak sentiasa merupakan sebuah pasukan yang kuat dan lawan yang sukar, namun sayang ia tidak berlaku kali ini, ia bukan hari mereka dan saya bersimpati dengan mereka.

“Pemain-pemain melaksanakan tugasan dengan baik, mendapatkan kelebihan selesa secepat yang boleh untuk bermain dengan lebih tenang.

“Separuh masa pertama sedikit sukar kerana terlalu ramai pemain Perak berkampung di tempat sendiri, jurulatih mereka menunggu kita melakukan kesilapan dan cuba membuatkan kita sedikit bergelut dalam membuat hantaran tepat kepada penyerang.

“Namun kita dapat mengawal permainan dengan baik dan apabila mendapat peluang, ditambah dengan keghairahan Bergson, dia tampil cemerlang dengan sentuhan klinikal.

“Sudah tentu ini adalah apa yang saya harapkan daripada seorang penyerang dan saya gembira kini kita masih kekalkan jarak selesa dengan pencabar terdekat (Terengganu).

“Kita akan cuba untuk memenangi kejuaraan (Liga Super) secepat yang boleh, kerana selepas itu saya boleh memberi peluang kepada pemain-pemain yang jarang bermain dan memberi rehat kepada pemain-pemain utama,” kata Benjamin Mora.

Bagi Bergson pula, tiga gol jaringannya menyaksikan dia kini mengumpul keseluruhan 16 gol bagi musim ini sekaligus melonjakkannya sebagai pendahulu bersama carta penjaring bersama Ifedayo Olusegun.

Foto ehsan : Johor Southern Tigers

Share on whatsapp
Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
error: Lebih dihargai jika anda klik butang share, terima kasih.